Usrah ABIM Kuala Selangor & Tanjong Karang (12 Mei 2009)


12 Mei 2009, di rumah Tuan Haji Rafie, ahli-ahli usrah ABIM Kuala Selangor dan Tanjong Karang sekali lagi berkumpul bagi mengisi agenda mingguan kami dengan berusrah. Usrah merupakan tuntutan yang penting dalam melayari kehidupan sebagai seorang ahli gerakan Islam. Usrah mempunyai beberapa keutamaan objektifnya iaitu;

1. Sebagai jambatan mengeratkan hubungan silaturrahim di antara ahli usrah. Ia diterapkan melalui ziarah ke rumah, makan bersama-sama, membaca Ma'thurat dan solat berjemaah.

2. Majlis ilmu yang diketuai oleh seorang naqib. Setiap umat Nabi Muhammad adalah wajib bagi dirinya untuk menuntut ilmu bermula dari lahirnya ke muka bumi Allah sehinggalah ke liang lahad. Tiada waktu berhenti dan tiada masa berehat. Maka usrah adalah salah satu majlis ilmu yang patut untuk kita hadiri.


Alhamdulillah, ketika di rumah Tuan Haji Rafie, usrah kami bermula dengan solat Maghrib berjemaah (saya terlambat ketika ini), bacaan Ma'thurat serta solat isyak berjemaah. Sebelum memulakan usrah, kami dijamu tuan rumah dengan makanan 'Nasi Ambeng' (tak tahulah betul ke tidak ejaannya).


Usrah dimulakan oleh Tuan Haji Abd. Malek dengan ummul kital Al-Fatihah. Perbincangan pada malam itu adalah Tafsir Al-Quran. Ayat tafsiran adalah dari 25 sehingga 26 surah Al-Baqarah. Ayatnya bermaksud;

"Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan; "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu". Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya."


Ayat Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w ini pada hakikatnya bertujuan untuk mempertingkatkan iman dan keyakinan manusia beriman serta sentiasa menggambarkan kegembiraan dan keindahan kehidupan selepas kematian bagi seorang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Apa yang menjadi kekhuatiran kita pada hari ini, ayat-ayat Allah ini, segala penceritaan melalui wahyu Allah dan mukjizat agung ini hanyalah sekadar bacaan. Ia tidak berjaya menjadi pedoman kepada manusia khususnya pemuda, remaja dan belia pada hari ini.


Ayat ini ialah merupakan suatu dorongan kepada orang-orang yang beriman agar sentiasa beramal soleh dan beriman kepada Allah. Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Asr ayat 1 hingga 3 disebutkan tentang golongan manusia yang hidup mereka di dalam kerugian kecuali;

1. mereka itu beriman dan;
2. beramal soleh dan;
3. nasihat-menasihati kepada kebenaran dan;
4. nasihat-menasihati kepada kesabaran.


Apa yang jelasnya di sini, beriman dan beramal soleh bukanlah semata-mata bergantung kepadanya sahaja bahkan ia datang dengan pelbagai tanggungjawab. Maka hadirlah syarat-syarat yang kita ketahui dan sedia maklum yang fardhu 'ain sifatnya dan fardhu kifayah sifatnya. Menurut Syed Qutub, manusia dengan manusia ini adalah sama sehinggakan tiada dinampakkan perbezaan yang ketara dari segi fizikalnya, tetapi hakikat sebenarnya, perbezaan ini bukanlah segi jasmaninya, tetapi taqwanya di sisi Allah. Jika taqwa menjadi kayu ukurnya maka, perbezaan orang-orang yang beriman denga yang tidak beriman adalah sangat jauh bahkan lebih jauh diantara langit dan bumi.


Maksud ayat ke 26 surah Al-Baqarah pula membawa maksud;

"Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahawa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan; "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?". Dengan perumapaan itu banyak orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberi-Nya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik."


Ayat ini secara khususnya membincangkan tentang kaum-kaum yang munafiq dan yang lain-lainnya juga. Ia merupakan satu peringatan kepada yang ingkar. Mereka cuba untuk memperkecil-kecilkan kejadian-kejadian Allah, maka Allah bandingkan mereka dengan hanya nyamuk. Maka ia merupakan bukti dan kekuasaan Allah. Sebagaimana contoh yang Allah berikan juga di dalam Al-Quran dari surah Al-Haj ayat 73 yang bermaksud;

"Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah oleh mu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yag menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah."


Allah juga memberikan bukti bagaimana sarang labah-labah dapat menyelamatkan hijrah Nabi di dalam sejarahnya. Sesungguhnya mereka telah mengingkari Al-Quran, maka Allah telah mencabar mereka dengan Al-Quran yang juga sebagai wahyu Allah. dalil-dali Allah ini telah menolak pakatan-pakatan jahat ini sehingga hari kiamat.


Orang-orang yang beriman yakin bahawa perbandingan itu benar dan meningkatkan iman mereka serta membuka kefahaman kepada mereka dan mereka tidak akan sesat. Bagi mereka yang fasiq, dengan perbandingan ini akan bertambahlah kefasiqan mereka.


FIQH AULAWWIYAT

Bagaimana Kebaikan dan Keburukan dunia dan akhirat dapat diketahui.

Untuk mengetahui perkara ini, haruslah kita merujuk kepada dalil-dalil yang benar melalui syariat Islam iaitu Al-Quran, Hadith, Ijma', Qiyas dan 'Uruf. Hal dunia, akal boleh menafsirkan tetapi tidak pula pada hal-hal akhirat. Yang belum jelas boleh menggunakan pertimbangan akal selagi ia tidak diputuskan mengikut kaedah syarak.


Dalam hal-hal ibadah, tidaklah ada manusia yang tahu faedahnya melainkan Allah. Harus kita ingat bersama, tidak ada kewajipan bagi Allah untuk memberikan balasan syurga atau neraka kepada manusia. Ia hanyalah di atas kasih sayang Allah kepada makhluknya dan bukanlah suatu kemestian bagi Allah.


YDP ABIM Kuala Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan