Tangani Provokasi, Jaga Kedaulatan Islam Dan Keharmonian Kaum, Kata ABIM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Dalam usaha menjaga kedaulatan Islam sebagai agama rasmi di negara ini, sebarang provokasi yang mempertikai dan menghina kedudukan serta imej Islam perlu ditangani secara tegas dan sistematik, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Setiausaha Agungnya Mohamad Raimi Ab Rahim berkata tindakan itu perlu selain bertujuan memelihara keharmonian hubungan antara kaum di negara ini.

"Sekiranya siasatan membuktikan penghinaan sedemikian berlaku, undang-undang yang sedia ada haruslah dikuatkuasakan tanpa kompromi. "Penggunaan bahasa kesat yang mengeji sesuatu kaum, agama dan bangsa di alam maya juga tidak harus dikompromi dalam usaha membina generasi muda yang berakhlak mulia," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin. Sehubungan itu, Mohamad Raimi meminta kerajaan memperhalusi kewajaran menggubal undang-undang baru untuk mengawal selia penyalahgunaan internet dan penyebaran maklumat elektronik yang bertujuan menggugat Perlembagaan serta menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum.

"Undang-undang yang sedia ada memadai untuk mengisi objektif serta keperluan undang-undang baru yang ingin digubal. Yang penting, undang-undang tersebut hendaklah dilaksanakan ke atas semua pihak secara adil, saksama, telus dan tidak memilih bulu," katanya.

Katanya ABIM selaku generasi muda, menolak pendekatan mencaci dan memaki hamun yang dibudayakan oleh pihak yang menyalahgunakan tiket kebebasan dalam menyampaikan mesej yang turut akan mengundang ketegangan.

"Pendekatan berbentuk pendidikan perlulah diutamakan berbanding hukuman terhadap blogger yang dikenal pasti melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab.

"Proses pendidikan juga perlu membabitkan usaha menghampiri golongan ataupun para penulis bebas dengan menekankan kepentingan etika dan nilai kewartawanan selain mengambil kira sensitiviti masyarakat di negara ini," katanya.

Mohamad Raimi berkata sebarang pendekatan yang diambil oleh kerajaan nanti perlu menghormati dan mengambil kira aspek kebebasan bersuara.

"Pada masa yang sama, tidak berkompromi dengan sesiapa sahaja yang berniat jahat merendahkan mana-mana agama dan menggugat keharmonian kaum di Malaysia," katanya.
sumber di petik : www.bernama.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan