Kenyataan Media ABIM - Pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) 1976: Abim Minta Ia Diperhalusi

Pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 kembali menjadi polemik apabila pihak Jabatan Peguam Negara, mengemukakan cadangan untuk pindaan yang akan memberikan hak kepada suami atau isteri yang memeluk Islam untuk memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Sivil.

Cadangan pindaan induk dapat dilihat melalui cadangan untuk meminda sub seksyen 51(1) akta tersebut, yang memperuntukkan hanya pasangan yang bukan Islam sahaja yang boleh memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Sivil. Ini bermakna selagi pasangan tersebut tidak membuat sebarang permohonan petisyen perceraian, maka perkahwinan sivil tersebut masih sah walaupun pasangannya telah memeluk Islam.

Secara umumn, ABIM menyambut baik pindaan ini dan menyarankan agar ia disegerakan bagi mengelakkan sebarang polemik khususnya melibatkan status perkahwinan dan agama pihak-pihak yang berkenaan daripada berterusan. Justeru, pindaan ini harus dilihat dari perspektif yang lebih kondusif demi menjaga kepentingan dan kebajikan pihak-pihak yang terlibat.

Walaupun pindaan tersebut hanya membabitkan sub seksyen 51 akta terbabit, tetapi ABIM juga menilai pindaan ini akan memberikan kesan yang besar terhadap seksyen-seksyen lain di dalam akta yang sama, terutama sekali melibatkan aset perkahwinan, pemberian nafkah, hak penjagaan anak, liabiliti dan tanggungan yang berkaitan dengan perceraian yang disebabkan oleh tindakan salah seorang pasangan terbabit memeluk Islam.

Justeru, ABIM juga menyarankan agar pindaan ini turut diteliti, memandangkan ia (pindaan) akan turut memberikan kesan terhadap peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam akta serta enakmen Undang-undang Keluarga Islam. Ini untuk mengelakkan pindaan ini dari mengurangkan serta menjejaskan kredibiliti, hak dan bidangkuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Dalam hal ini, ABIM juga menganjurkan agar pandangan pihak-pihak yang mempunyai autoriti dalam isu terbabit seperti Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Jabatan Mufti dipertimbangkan, bagi mendapat pandangan mengenai pindaan tersebut dari sudut Hukum Syarak, kesan serta implikasi pindaan ini turut menyentuh isu serta hak beragama dan status agama anak-anak daripada perkahwinan tersebut.

ABIM juga mencadangkan pandangan yang dikemukakan oleh pakar undang-undang serta ahli akademik diambil kira bagi mencanai cadangan proses harmonisasi undang-undang sivil dan syariah diteliti dan diperhalusi bagi memastikan Essence (intipati) dan Spirit (hasrat) perundangan Syariah tetap dipertahankan, walaupun prosiding tersebut dilaksanakan di Mahkamah Sivil.


MOHAMAD RAIMI ABD RAHIM
SETIAUSAHA AGUNG ABIM
25 NOVEMBER 2009 / 8 ZULHIJJAH 1430H

Tiada ulasan:

Catat Ulasan