SERONOK BEKERJA DENGAN NIAT



Pastinya biasa kita mendengar sabda Nabi Muhammad s.a.w yang masyhur dengan niat. Ia amat memberikan penjelasan betapa niat adalah sebab untuk kita melakukan sesuatu perbuatan serta kekuasaan Allah memakbulkan apa yang telah kita niatkan. Bahkan, kerugian hanya kepada kita kerana pilihan niat itu terletak kepada diri kita sendiri.

Pernahkah timbul persoalan di dalam dada dan benak fikiran kita, sebab apakah kita bekerja setiap hari? Apakah niat saya bekerja hari ini? PAstinya, ramai diantara kita yang terlupa dan terpinga-pinga memikirkan apa niat kita pada hari ini. Sehinggakan, untuk memulakan perjalanan ke tempat kerja sekalipun kadangkala, tiada niat khusus yang kita sediakan untuknya. Ingatlah wahai sahabat-sahabatku, amalan kita ditentukan dengan niat kita. Allah nilai amal kita hanya dengan niat yang ditujukan khas buat Allah s.w.t.

Oleh yang demikian, bagi membangkitkan keseronokan bekerja, marilah kita 'pasang niat' yang baik dan yang terpuji. Niatkan pagi ini apabila kita keluar bekerja untuk mencari keredhaan Alah dan seronoknya bekerja. Dalam proses melakukan kerja dan menyiapkan tugasan, iringilah dengan ingatan kepada Allah dan carilah keseronokan-keseronokan yang tersembunyi di dalamnya.

Carilah apa yang boleh membuatkan kita merasa seronok melakukannya. Kaji dan dalami kerja kita itu dengan penuh rasa ingin tahu. Janganlah kita menganggap bahawa kita mengetahui semuanya, tapi anggaplah masih ada lagi yang kita perlu cari dan pelajari. Ini kerana, ilmu mungkin dapat kita perolehi tetapi kefahaman terhadap ilmu itu adalah atas kehendak, hidayah dan kebijaksanaan yang Allah akan beri kepada kita.

Percayalah, kita akan berjumpa dengan sesuatu yang membuatkan kita sentiasa seronok melakukan apa sahaja kerja atau tugasan yang diberikan. Carilah dengan penuh rasa ingin tahu. Be curious!

Ia mungkin sesuatu yang akan menarik minat kita, ia mungkin tugasan kerja yang mencabar kemahiran kita dan pengalaman kita, ia mungkin arahan dari ketua kita yang membuka ruang buat diri kita membuktikan sesuatu padanya, mungkin juga bidang tugas baru dan menunggu untuk diterokai oleh diri kita.

Tiap kali pegi kerja, niatkanlah kerana Allah dan carilah sesuatu yang menarik minat kita di tempat kerja. Fikirkan apa lagi perkara yang kita tidak tahu mengenai kerja kita. Cari dan terus cari dengan penuh rasa ingin tahu!

Bila kita sentiasa niatkan sebegini setiap kali bersiap-siap untuk ke tempat kerja, lama-kelamaan kita akan merasa bersemangat untuk bekerja. Tidak kira apa bidang kerja kita, baik sebagai kerani, pegawai ICT, CEO, budak pengantar surat, tukang cuci, pegawai pemasaran, pegawai pentadbiran, rasa ingin tahu yang membuak-buak dapat membangkitkan keseronkan bekerja yang sukar diungkap dengan kata-kata. Sentiasalah berniat kerana Allah s.w.t dan carilah keseronokan di dalamnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan