APABILA RASULULLAH TIDAK LAGI DIKENANG

Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini (KAMZ)



Sambutan Maulidur Rasul seringkali dapat kita lihat disambut dengan meriah di seluruh negara kita. Sambutan yang berlangsung sebagai tanda mengingati dan menunjukkan rasa kasih sayang ummat kepada Baginda s.a.w adalah merupakan satu usaha murni manusia khususnya kita di Malaysia untuk sentiasa menjadikan Rasulullah s.a.w itu sebagai ikon, sebagai model dan sebagai contoh ikutan untuk semua ummat akhir zaman.

“Sebesar-besar nikmat yang dianugerahkan Allah kepada kita ialah kelahiran nabi kita Muhammad” (HR Ibnu Hajar Al-Haitami, Al-Hafiz Ibnu Hajar Assqalani, Sayuti dan lain-lain)

Apabila sambutan Maulidur Rasul ini diadakan, maka ia diibaratkan sebagai salah satu cara untuk kita bersama-sama meninggikan syiar agama itu sendiri. Sesungguhnya, wajib di atas setiap mukallaf meletakkan setinggi-tinggi kecintaan kita yang pertamanya kepada Allah s.w.t dan yang keduanya meletakkan Nabi Muhammad s.a.w sebagai semulia-mulia makhluk yang dijadikan Allah s.w.t. Sirah telah menceritakan kepada kita bahawasanya, permulaan sambutan Maulidur Rasul secara besar-besaran ini telah dilaksanakan oleh Sultan Salahuddin Al-Ayubi beserta iparnya Raja Muzaffaruddin Bin Zainuddin yang juga dikenali sebagai Raja al-Muzaffar.

Sultan Salahuddin merupakan seorang pemimpin pada dinasti Bani Abas yang alim, bertakwa, zuhud, warak dan sangat berani. Beliau mula memikirkan hal ini sejak apabila keadaan ummat Islam yang tertekan pada masa itu kerana berjuang bermati-matian mempertahankan diri dari serangan dan perang oleh pihak tentera salib di Eropah yang terdiri daripada Perancis, Jerman dan Inggeris dalam peperangan yang dikenali sebagai The Crusade. Selepas tentera salib berhasil merampas Baitulmaqdis dan memasuki Masjidil Aqsa pada tahun 1099M, ummat Islam pada ketika itu seolah-olah telah hilang arah, semangat dan halatuju perjuangan mereka. Maka, berlakulah perpecahan yang akhirnya mewujudkan banyak kerajaan dan kesultanan.

Khalifah dinasti Bani Abas pada ketika itu hanyalah merupakan lambang penyatuan dari sudut kerohanian semata-mata. Tiada kesepakatan, perpecahan dan persaudaran tidak terikat antara mereka. Atas dasar itulah, Sultan Salahuddin mengadakan sambutan Maulidur Rasul yang bertujuan untuk membangkitkan semula semangat para pejuang Islam dan juga ummat Islam ketika itu. Menajdikan mereka bersatu memperjuangkan kalimah hak di bumi Allah. Ini menjelaskan kepada kita bahawa, sambutan Maulidur Rasul bukanlah perayaan atau sambutan yang menjadi adat kebiasaan semata-mata tetapi ia haruslah mempunyai erti yang besar kepada kita semua dalam memartabatkan Islam sebagai cara hidup.

Hari ini, sambutan Maulidur Rasul hanyalah sebagai tanda hari cuti am, waktu berehat dan ramai dikalangan ummat Islam di Malaysia melakukan pelbagai perancangan bersempena dengan cuti sambutan Maulidur Rasul. Maka, adakah ini sambutan yang sepatutnya kita lakukan atau adakah kita sendiri telah melupakan perjuangan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w terhadap ummat manusia? Diriwayatkan daripada Qatadah Al-Ansari,

“Bahawasanya Nabi ditanya tentang berpuasa hari Isnin, berkata Nabi, “Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian ke atasku.”
(HR Muslim dan lainnya)

Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa, sambutan Maulidur Rasul atau kelahiran Rasulullah s.a.w ini bukanlah semata-mata setahun sekali sebagaimana yang kerap kita lakukan seumpama kita menyambut hari kelahiran kita, tetapi, adalah menjadi satu amalan sunat pula buat kita untuk berpuasa pada setiap hari Isnin sebagai tanda mensyukuri kelahiran Baginda s.a.w serta kenabiannya. Amat jelas bahawa, ia menuntut supaya ummat Islam ini sentiasa mengingati Rasulullah s.a.w, bukan dalam tempoh setahun sekali tetapi setiap minggu. Berapa ramai dikalangan ummat Islam hari ini melakukan amalan sunat ini? Bagaimana pula amalan sunat harian yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w yang boleh kita lakukan setiap hari? Adakah kita berusaha untuk melakukannya atau kita sudah terlupa?

“Katakanlah (Wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata Dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka Dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan Dengan Yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa Yang mereka himpunkan dari Segala benda dan perkara Yang tidak kekal).”
(Surah Yunus: 58)

Kehadiran sesuatu yang baik untuk diri kita adalah sesuatu yang penting untuk disyukuri dan berterima kasih. Bukanlah kepada perkara baik sahaja, bahkan setiap musibah juga kita diajarkan untuk sabar, dan redha kerana pasti ada hikmah disebaliknya. Kisah pentafsiran mimpi Aminah binti Wahab, ibunda Rasulullah s.a.w merupakan kisah sejarah yang seharusnya dijadikan titik tolak dan penanda aras betapa pentingnya ummat hari ini mensyukuri akan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Berkata Aminah, “Maka aku telah pergi kepadanya dan menceritakan tentang kisah yang terjadi kepadaku dalam mimpi tersebut.” Maka dijawab oleh Khalifah bin ‘Attab, “Perumpamaan pokok itu adalah Ibrahim Khalilullah, bintang-bintang yang kuat cahayanya itu adalah para nabi dan satu bintang yang sangat hebat cahayanya sehingga dapat menerangi kesemua bintang-bintang yang lain itu adalah seorang nabi yang akan muncul pada zaman ini. Dia menghancurkan berhala-berhala dan menyembah ar-Rahman, adapun gugurnya bintang itu di bilik kamu maksudnya, apabila kamu melahirkannya nanti akan tinggilah tempatnya (darjatnya) dan berkembang di Timur dan di Barat akan hujah-hujahnya.”

Kisah kelahiran Rasul mulia s.a.w ini haruslah menjadi pesanan dan peringatan buat kita bahawa seluruh makhluk di dunia ini memberikan pernghormatan yang tinggi buat Baginda s.a.w sebelum Baginda s.a.w lahir lagi ke muka bumi Allah ini. Seharusnya sebagai ummat yang amat dikasihi Baginda s.a.w yang sehingga ke hujung nyawanya disebutkan Ummati, Ummati, Ummati memberikan penghormatan dan kasih sayang sewajarnya. Baginda s.a.w mengenangkan ummatnya sehingga pada akhir ajalnya berhadapan dengan Malaikat Izrail, Baginda s.a.w sempat memohon kepada Izrail agar dipindahkan segala kesakitan mati ummatnya kepada dirinya sendiri. Bagaimanakah kasih sayang yang kita tonjolkan untuk Rasulullah s.a.w? Adakah Baginda s.a.w masih di dalam kenangan kita sepanjang hidup ini atau hanya sekadar sejarah yang dinukilkan di atas helaian kertas?

'Amir bin Said dari bapanya berkata bahawa, "Satu hari Rasulullah s.a.w telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah s.a.w sampai di masjid Bani Mu'awiyah lalu beliau masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah s.w.t. Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah s.a.w pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud : "Aku telah bermohon kepada Allah s.w.t tiga perkara, dalam tiga perkara itu cuma dia memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi ditolak. Pertama, aku telah bermohon kepada Allah s.w.t supaya ia tidak membinasakan ummatku dengan musim susah yang berpanjangan. Permohonanku ini diperkenankan oleh Allah s.w.t. Kedua aku telah bermohon kepada Allah s.w.t supaya ummatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh a.s). Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah s.w.t. Ketiga, aku telah bermohon kepada Allah s.w.t supaya ummatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam). Tetapi permohonanku telah tidak diperkenankan (telah ditolak).

Maka jelaslah buat kita, bahawa Rasulullah s.a.w telah banyak membuat persediaan, berdoa dan mengajar kita dengan pelbagai cara demi memastikan kerisauannya itu untuk menyelamatkan ummatnya dari menjadi umpama buih-buih dilautan. Lihatlah pada hari ini, kerosakan yang kita hadapi dan lalui bukanlah disebabkan oleh gangguan, serangan atau cabaran daripada mereka yang memusuhi Islam, tetapi kebijaksanaan mereka itu mengatasi kita ummat Nabi Muhammad s.a.w. Bagaimana mereka tahu bahawasanya, ummat Baginda s.a.w akan mudah dirosakkan oleh persengketaan, pergaduhan dan berselisih pendapat. Mereka gunakan kesempatan ini untuk merosakkan kita semua. Natijahnya, mereka bukanlah baru merancang, tetapi rancangan mereka telah berjaya.

Maka adalah menjadi tuntutan dan kewajiban buat kita yang mengakui dan menginsafi Maulidur Rasul ini untuk menjadikan ketokohan dan keperibadian Rasulullah s.a.w sebagai ikutan dan pakaian kehidupan Muslim dan Mukmin hari ini. Maka pada hari kemuliaan Maulidur Rasul, seharusnya kita bersama-sama berkumpul, dengan bertilawah al-Quran, berzikir, berselawat, membica kisah-kisah Nabi serta mengadakan jamuan dan menjamu ummat Islam. Selain itu, kita juga digalakkan untuk berdiri ketika dibacakan kisah kelahiran Baginda s.a.w. Berkata Imam Nawawi, “Disunatkan berdiri kepada orang yang hadir iaitu daripada ahli kelebihan dan kemuliaan, sesungguhnya datang hadis-hadis sebagai hujah padanya...”. Pada hari itu, bersamalah kita untuk memuji dan membesarkan Baginda s.a.w dengan syair yang indah dan pujian yang meninggalkan kesan di dalam hati manusia.

“kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. dan (ingatlah), orang-orang Yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.”
(Syuaraa’: 227)

Kenangkanlah Rasulullah s.a.w dan sentiasalah kita melakukan apa yang di sunnahkan Rasul s.a.w buat kita. Yang ditinggalkan kepada kita sekepas wafatnya Baginda adalah Al-Quran dan Sunnahnya. Ikutilah dan hayatilah dan janganlah sekali-kali kita melupai pesanan ini. Kesempurnaan hidup ini bergantung kepada sejauhmana kita berpegang kepada keduanya ini. Hari ini, ummat ini semakin sakit, kesakitan ini bukanlah berbentuk fizikal tetapi mental dan emosi mereka. Ini disebabkan oleh jauhnya mereka daripada ubatnya, jauhnya mereka dari penyembuhnya, ubatnya adalah Al-Quran dan Sunnah Baginda s.a.w dan penyembuhnya adalah Allah s.w.t.

Disebutkan bahawa Nabi Adam a.s. telah berkata, "Sesungguhnya Allah s.w.t telah memberikan kepada ummat Muhammad s.a.w empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku;

Pertama, taubatku hanya diterima di kota Mekah, sementara taubat ummat Nabi Muhammad s.a.w diterima di sebarang tempat oleh Allah s.w.t. Kedua, pada mulanya aku berpakaian, tetapi apabila aku berbuat derhaka kepada Allah s.w.t, maka Allah s.w.t telah menjadikan aku telanjang. Ummat Muhammad s.a.w membuat derhaka dengan telanjang, tetapi Allah s.w.t memberi mereka pakaian. Ketiga, ketika aku telah berderhaka kepada Allah s.w.t, maka Allah S.W.T telah memisahkan aku dengan isteriku. Tetapi ummat Muhammad s.a.w berbuat derhaka, Allah s.w.t tidak memisahkan isteri mereka. Keempat, memang benar aku telah derhaka kepada Allah s.w.t dalam syurga dan aku dikeluarkan dari syurga, tetapi ummat Muhammad s.a.w durhaka kepada Allah akan dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka bertaubat kepada Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan