SENYUM DAN SEBARKANLAH SALAM

Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini



Senyum itu umpama sedekah. Pesanan Nabi Besar Junjungan s.a.w ini kerapkali dijadikan modal buat bercakap dan mengingatkan orang lain mengenainya. Namun pada hakikatnya, manusia amatlah sukar untuk melemparkan senyuman pada saat dunia bergerak dalam kepantasan teknologi terkini hari ini. Apatah lagi menyebarkan salam kepada orang Islam yang tidak dikenali. Nabi Muhammad s.a.w ada menyatakan bahawa salah satu syarat agar dapat saling cinta-mencintai adalah dengan menyebarkan salam.

Mengapa senyuman menjadi keperluan bagi seorang Muslim dan salam menjadi kalimah pertama sebelum memulakan perkataan? Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:

“Kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling mencintai. Mahukan kalian aku tunjukkan sesuatu apabila kamu kerjakan nescaya kamu sekalian akan saling mencintai? Iaitu sebarkanlah salam di antara kamu sekalian.” (HR Muslim)

Jika kita singkap semula sirah bagaimana sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w berlumba-lumba memberikan salam kepada Baginda. Namun setiap percubaan mereka gagal dan kerapkali Bagindalah orang yang pertama memberikan salam.

“Sebarkanlah salam, hubungkanlah tali silaturrahim, berilah makan dab dirikanlah solat malam di saat manusia tertidur lena. Nescaya kalian akan masuk syurga dengan damai.” (HR Al-Tirmidzi).

Tidak hairanlah mengapa Rasulullah s.a.w sangat menganjurkan salam secara sempurna kerana ia akan memberikan kita 30 pahala. Bahkan etika dalam memberikan salam mempunyai bimbingan yang sangat konkrit. Seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

“Hendaklah orang yang lebih kecil memberi salam kepada yang lebih besar darinya, orang yang berkenderaan memberi salam kepada yang berjalan kaki dan kelompok yang sedikit memberi salam kepada kelompok yang banyak.” (Muttafaq ‘Alaih).

Kita dapat merasakan dan membuktikan betapa dengan ucapan salam kita akan merasa senang dan damai apabila mendengar orang lain mengucapkannya walaupun bukan untuk diri kita. Ia umpama mempunyai magnet yang luar biasa untuk manusia. Tidak kurang juga kuasa luar biasa yang ada pada senyuman seorang manusia. Nilai senyum setinggi sedekah yang mana ini memberikan pengajaran kepada kita bahawasanya senyuman itu sesuatu yang amat diberikan perhatian oleh Baginda s.a.w. Senyuman adalah satu pancara tenaga yang positif yang mampu mengubah suasana persekitaran kita. Hanya sebuah senyuman yang ikhlas akan mampu mengubah suasana muram kepada keceriaan, kesedihan kepada kegembiraan dan ketegangan kepada kedamaian.

Maka sebarkanlah salam dan lebarkanlah senyuman kerana sesungguhnya ia akan dapat mengubah diri kita kepada keadaan yang lebih positif dan mampu mengelakkan dari sebarang persengketaan. Sebarkanlah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan