ISRAK DAN MIKRAJ: HADIAH KEPADA BAGINDA RASULULLAH S.A.W




Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Al-Isra': 1)

Tercatat jelas di dalam Al-Quran sejarah yang besar dalam diri setiap Muslim yang hidup di muka bumi ini. Jika sekiranya, ditanyakan kepada ummat Islam hari ini, bilakah berlakunya Israk dan Mikraj ini, maka pasti akan menjadi kejutan buat kita semua, kerana ramai dikalangan mereka yang pasti tidak mengetahuinya.

Tanggal 27 Rejab 721 Masihi, berlakulah perjalanan agung Rasulullah s.a.w. bersama Jibril bermula dari Masjidil Haram di Mekah sehingga ke Masjidil Aqsa di Palestin. Secara umumnya mungkin ramai yang mengetahui tentang kisah ini, namun ramai juga yang tidak pasti apa yang telah berlaku sepanjang perjalanan baginda yang sentiasa bersama Jibril menjadi seolah-olah polis pelancong yang memperjelaskan keseluruhan apa yang dilihat oleh Rasulullah s.a.w.

'Israk' bermaksud perjalanan (rehlah) yang Allah s.w.t. perlakukan kepada Rasulullah s.a.w. secara terhormat, bermula dari Masjid al-Haram di Makkah hingga ke masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis di Palestin. Manakala 'Mikraj' bermaksud kejadian yang berlaku ekoran dari peristiwa Israk, iaitu naik dari al-Aqsa kepada beberapa lapis langit yang tinggi, sampai ke suatu peringkat yang tertinggi iaitu suatu tempat bernama 'Sidratul Muntaha' di mana ilmu dan akal manusia atau jin tidak mampu sampai kepadanya.


Sebelum Perjalanan Agung Bersejarah Israk dan Mikraj

Tiga peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah perkembangan dakwah Islamiyah adalah:

1. Peristiwa diutusnya Baginda Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasulullah;
2. Peristiwa Israk dan Mikraj beserta;
3. Peristiwa Hijrah Rasul dan Umat Islam.

Perjalanan 3 peristiwa ini amat memberikan kesan dalam perjuangan umat Islam dari dahulu sehingga kini. Selepas pertemuan Jibril bersama Rasulullah s.a.w., Baginda s.a.w. kembali ke rumahnya dalam keadaan yang ketakutan dan kekeliruan. Maka dipujuknya oleh isteri kesayangan Rasulullah s.a.w. sehinggalah datang perintah Allah s.w.t. untuk menyebarkan Islam. Bermula dari saat itu, Rasulullah bangkit menyebarkan Islam secara berperingkat dan melakukannya hanya kerana Allah. Apabila terangkat amanah Rasul dibahu Baginda s.a.w., di dalam usaha dakwahnya, Baginda s.a.w. menempuh tiga tahap perjuangannya iaitu:

1. Pengangkatannya sebagai Rasul;
2. Berdakwah kepada keluarga terdekatnya serta;
3. Menyampaikan dakwahnya kepada umum.

Allah telah menyediakan jalan yang terbaik buat Baginda s.a.w. Maka kita sebagai ummatnya, seharus melihat ini sebagai contoh dan tauladan yang baik dan apa yang utama adalah segalanya atas kehendak Allah s.w.t. Perjalanan menyampaikan risalah tauhid oleh insan pilihan Allah s.w.t. berjalan perlahan-lahan dengan mengimankan ahli keluarga Baginda. Sehinggalah tercetus kekecohan dan kerisauan dikalangan Quraisy apabila mendengar bahawasanya Muhammad sedang menyebarkan fahaman baru dikalangan mereka. Maka ketika itu, pelbagai ugutan dan seksaan yang diberikan masyarakat Quraisy kepada Baginda s.a.w. yang pastinya memerlukan perlindungan untuk memastikan sebaran Islam itu sampai kepada setiap ummat di muka bumi ini.

Atas kuasa Allah s.w.t. yang Maha Merencana setiap apa yang berlaku, maka Rasulullah s.a.w. ketika itu sudah didampingi Khadijah selaku isteri yang sentiasa menenangkan, memujuk dan menjaga segala hal ehwam Baginda sepanjang usaha dakwahnya. Pada masa yang sama, ancaman dari luar (Quraisy) tidak henti-henti. Maka, Allah gerakkan hati Abu Thalib yang dalam keadaan kafirnya, timbul perasaan sayang kepada anak saudaranya Muhammad. Maka dialah yang menjaga keselamatan Baginda s.a.w. dengan pengaruhnya di dalam masyarakat Quraisy.

Sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w. semakin dicemburui dan semakin dihimpit kesengsaraan apabila Khadijah dan ABu Thalib dipanggil Allah s.w.t. untuk menghadap-Nya (wafat). Maka datanglah tahun dukacita buat Baginda kerana manusia yang amat dikasihinya telah kembali ke rahmat Allah. Walaupun Abu Thalib, wafat di dalam kekafirannya, namun kasih sayang Muhammad s.a.w. terhadap pakciknya itu tidak pernah kurang sedikit pun. Kesan dari itu, masyarakat Quraisy ketika itu semakin berani untuk memberikan tekanan dan ugutan kepada Baginda s.a.w. Maka, bermulalah perjalanan Baginda ke Thaif dan dihinggapi dengan cemuhan, kutukan, penghinaan sehinggakan hilang keperikemanusiaan mereka.

Kesedihan Baginda s.a.w. tiba ke tahap yang tidak tertanggung lagi. Namun, Rasulullah s.a.w. hanya berdoa mengadu kepada Allah dengan apa yang dialaminya. Akhir doa Rasulullah, Baginda menyebutkan:

"Oh Tuhan! Hanya keredhaan-Mu yang sentiasa aku harapkan. Dan tidak ada daya untuk melakukan kebaikan serta tidak ada pula kekuatan untuk menghindari keburukan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata..."

Maka yang demikian, Allah tunjukkan kekuasaan-Nya sebagai tanda tidak ada kemuliaan kepada seorang pejuang agama Allah yang telah berusaha keras dalam menyampaikan risalah Allah. Ia juga adalah sebagai satu pujukan dan hadiah Allah yang amat bernilai yang tidak ada upaya dan kuasa lain yang mampu melakukannya melainkan dengan kuasa Allah Yang Maha Besar. Inilah hadiah dan pengajaran yang besar buat kita semua ISRAK dan MIKRAJ.


Kamarul Azami bin Mohd Zaini
1 Julai 2010
Kuala Selangor

2 ulasan:

  1. salam..klu xsilap,ni batu yg salah yg cuba disebarkan pd org islam.batu asal di baitulmaqdis

    BalasPadam
  2. setuju..batu ini palsu yg telah diubah dan diedit..

    BalasPadam