Jasa Bapa Perlu Dikenang

Seorang bapa mempunyai darjat tinggi dalam keluarga dan lelaki yang tugasnya mencari nafkah serta membahagiakan anak isteri tidak seharusnya diperlekehkan begitu saja, sebaliknya wajar diberi penghormatan. Meskipun ibu lebih dimuliakan selaras sabda Nabi Muhammad s.a.w yang mengatakan syurga di bawah tapak kaki ibu, bapa juga perlu diangkat seumpamanya kerana peranan dimainkan selaku ketua dan pemimpin dalam keluarga.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Razak Idris, berkata generasi Islam masa kini seharusnya mengambil kira perkara berkenaan sebagai asas utama menjadi seorang anak yang baik dan menghormati kedua-dua orang tuanya. Katanya, beliau percaya sekiranya sifat hormat-menghormati diberi keutamaan disusuli kasih sayang dan didikan sempurna, maka institusi keluarga akan menjadi kukuh dengan ibu bapa serta anak saling bergantung antara satu sama lain.

“Malaysia adalah sebuah negara bertamadun, jadi tidak sepatutnya dalam lingkungan masyarakat ini ada pula pihak memperlihatkan wajah derhaka kepada keluarga termasuk bapa kita. “Jika dinilai dari perspektif agama, umat Islam perlu menilai bapa sebagai peluang untuk meningkatkan ibadat kepada Allah s.w.t, yakni dengan berbuat baik kepadanya, menabur bakti dan membalas jasa kerana ini cara kita mendapat pahala.

“Kalau tidak pun, takkan kita langsung tiada sifat kemanusiaan hingga sanggup mencederakan darah daging kita sendiri, tinggalkan terkapai-kapai sendirian begitu saja,” katanya, semalam. Beliau mengulas laporan Metro Ahad semalam mengenai beberapa kisah bapa yang diabaikan anak sendiri dan menerima nasib malang kerana disisihkan ketika orang lain bergembira pada Hari Bapa semalam.



Dipetik dari akhbar Harian Metro.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan