MUHASABAH PERIBADI MUSLIM YANG MUKMIN

MUKADDIMAH


Pernahkah kita bertanyakan tentang diri kita sendiri? Sejauhmanakah peribadi Muslim yang telah kita tonjolkan atau sekadar tonjolan diri yang seumpama tiada pegangan dalam kehidupan? Islam adalah ad-din atau sering dikatakan sebagai cara hidup. Adakah kehidupan dan cara hidup kita sebagaimana yang digariskan oleh Islam? Perlumbaan untuk menunjukkan siapa lebih Islami, siapa lebih alim semakin menular dikalangan masyarakat disekitar kehidupan kita pada hari ini. Setiap perbuatan, perkataan atau apa sahaja perlakuan ingin sekali dilihat Islami dan seringkali kita mengharapkan pengiktirafan manusia terhadap tindak-tanduk yang kita fikirkan Islami tadi. Sangkaan kita terlalu sempit dan mudah. Kita sangkakan apa sahaja kebaikan yang kita lakukan adalah cukup dan sepatutnya dihargai, tetapi sedarkah kita bahawa setiap kebaikan yang dibuat itu sebenarnya adalah amat sedikit? Siapakah yang menilai ia cukup atau tidak? Manusia atau Allah s.w.t?

Pada firasat kita, itulah yang terbaik kita telah lakukan sedangkan Allah tidak pernah mengiktirafnya mungkin. Jika benar kita telah lakukan terbaik, hanya Allah yang Maha Mengetahuinya. Oleh itu, kita tidak harus memberhentikan yang terbaik ini, kerana kita tidak pernah tahu apa yang terbaik yang telah kita lakukan. Kekeliruan ini perlukan penjelasan. Inilah punca kelalaian manusia terhadap kebaikan yang mereka lakukan. Dek kerana itulah, dapat kita perhatikan, ramai dikalangan kita yang berusaha membuat kebaikan tetapi melakukan dosa juga pada hal-hal lain yang mungkin dirasakan tidak berkaitan. Berbondong-bondong ke masjid, solat berjemaah tetapi pada masa yang sama menyakiti jiran dan mungkin ahli keluarga sendiri.

Tidak kurang yang keliru dengan kebaikan yang dilakukan. Sama ada ia sebenar baik atau sebenarnya tidak patut dilakukan. Sebagai contoh, anak dijaga dengan baik sehingga setiap kesalahannya tidak ditegur dan setiap tingkahlaku mereka tidak diperingatkan. Memanjakan anak melebihi dari yang sepatutnya. Marilah kita muhasabahkan diri kita bersama, sebagai pendakwah, kadangkala kita juga melakukan perkara yang sama. Bahkan, pendakwah akhir zaman ini, lebih banyak kekeliruan mereka dan lebih banyak melakukan apa yang tercatat sebagaimana di atas. Ini adalah disebabkan hilangnya rasa peduli kepada agama itu sendiri. Mati rasa, mati hati yang menyebabkan kita hanya mampu melihat dan mentafsir dengan mata dikepala sahaja. Akhirnya, pendakwah hari ini lebih mudah dan gemar untuk mencari kesalahan orang lain dari menilai kesalahan diri sendiri. Kita lebih mudah mentafsir berbanding berfikir dengan apa yang dilihat dan didengari. Akhirnya, kita menjadi hakim menentukan salah betul serta dosa pahala orang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan