USRAH 8 JUN 2010


Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 30 hingga 33 bermaksud:

30. dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".

31. dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan Segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan Yang benar".

32. malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa Yang Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".

33. Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka". maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui Segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa Yang kamu nyatakan dan apa Yang kamu sembunyikan?".


Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan izin Dia, kami dapat berusrah sekali lagi buat minggu yang seterusnya. Kekuatan yang diberikan Allah untuk terus bertemu di majlis dakwah ini menjadikan rakan-rakan usrah begitu komited dengan agama mereka dan ini memberikan impak positif kepada generasi muda untuk terus bergiat cergas dalam menghadiri usrah-usrah ABIM.


Pada minggu ini, pergerakan usrah ABIM Kuala Selangor dan Tanjong Karang telah berkelana ke Subang Bestari diteratak saudara P. Aizan, Exco Kanan ABIM Pusat. Usrah pada kali ini merupakan usrah gabungan anjuran ABIM Pusat bersama sahabat-sahabat perjuangan dari ABIM Shah Alam, Kuala Selangor dan Tanjong Karang. Kemeriahan majlis dakwah ini amat dirasai dengan kehadiran bersama saudara Presiden yang mendahului serta mengepalai perbincangan.

Majlis dakwah ini dimulakan dengan bacaan Al-Ma'thurat dan kemudiannya diikuti dengan tadarus Al-Quran bersama surah Al-Baqarah ayat 30 hingga 33. Saudara Presiden memberikan ucapan aluan sesudahnya dan mengingatkan ahli usrah bahawa apa yang paling utama dalam menghadiri majlis dakwah sebegini adalah ikatan silaturrahim, pertemuan sesama ahli jemaah dan perkongsian ilmu yang bermanfaat.

Saudara Raimi seterusnya memperjelaskan tentang ayat yang diperbincangkan. Ayat ini merupakan ayat asas kepada penciptaan manusia. Ia memperjelaskan tentang ciri-ciri malaikat yang tiada berkehendak sebagaimana manusia. In kerana manusia dianugerahkan nafsu dan perasaan walaupun begitu, ia masih dibawah kehendak Allah s.w.t. Selepas penciptaan Adam a.s., malaikat telah mempersoalkan tentang kewujudannya kerana mengetahui bahawasanya mereka inilah yang akan merosakkan dan menumpahkan darah di muka bumi kelak. Sangkaan para malaikat ini ditolak Allah s.w.t kerana pastinya Allah s.w.t Maha Mengetahui apa yang tidak mereka ketahui.

Kupasan saudara Presiden menjelaskan bahawa, ayat ini membuktikan, sesungguhnya penciptaan manusia ini telah pun sempurna dan lengkap. Telah dijelaskan bahawa Allah telah memberikan ilmu kepada Adam a.s yang mana ilmu itu bukanlah sekadar ilmu yang kita ajarkan kepada anak-anak kita, bahkan ilmu yang menyeluruh tentang kebendaan, kerohanian serta pelbagai ilmu yang tidak upaya kita gambarkan. Menurut beliau lagi, tradisi keilmuan masyarakat barat mengkaji tentang sifat manusia melalui pemerhatian kepada binatang adalah suatu yang tidak sepatutnya berlaku. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa, mereka masih berpegang kepada teori-teori seperti Darwin yang menyifatkan manusia adalah revolusi kebinatangan. Begitu juga denganisu-isu terkini yang mana terdapat usaha-usaha untuk mencari hidupan berupa manusia yang berada di planet-planet lain. Inilah yang cuba mereka ketengahkan dan perdebatkan bagi menidakkan apa yang tertulis di dalam kitab mereka dan juga Al-Quran.

Seterusnya, saudara Presiden menyambung perbincangan buku Feqah Keutamaan. Beliau menyebutkan, permasalahan asas dalam masyarakat Islam ini apabila keliru dan tidak memahami keutamaan. Perkara kecil dibesarkan dan perkara besar dikecilkan. Allah juga ada memperingatkan manusia tentang kesimbangan neraca dalam kehidupan manusia. Apa yang berlaku hari ini, gejala, permasalahan, keruntuhan dan sebagainya adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan yang diwujudkan oleh manusia itu sendiri.

Apabila keseimbangan ini tidak lagi diberikan perhatian, ini menjadikan punca kejatuhan Islam dan Muslim itu sendiri. Amat sukar untuk dikembalikan tetapi ia adalah tidak mustahil. Apa yang berlaku kini, perlu kita atasi dengan mengembalikan keseimbangan ini. Perbincangan buku ini masih berada ditahap permulaan dan saudara Presiden menyarankan agar pandangan Dr. Yusuf Qardhawi ini diketengahkan oleh ABIM bagi menjadikan ia sebagai pencetus keseimbangan kehidupan ini semula.

*Catatan ini adalah hasil pemahaman dan ayat penulis sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan