ISRAK DAN MIKRAJ: BUKTI KEKUASAAN ALLAH


Israk dan Miraj merupakan antara peristiwa penting bagi ummat Islam untuk dijadikan rujukan dan pengajaran dalam menempuh kehidupan di dunia ini sebagai pejuang agama Allah. Ia bahkan menjadi sambutan tahunan di Malaysia bagi memperingati kekuasaan Allah dalam memperjalankan seorang hamba dan kekasih-NYA.

Permulaan perjalanan Israk dan Mikraj telah berlaku satu peristiwa di mana Nabi Muhammad s.a.w. telah dibelah dadanya dan dibersihkan hati dengan air zamzam dalam keadaan Baginda sedar serta tidak menyakitkan. Melalui ilmu perubatan moden sekarang bukan lagi perkara yang pelik. Seterusnya Baginda menaiki tunggangan khas yang disediakan oleh Allah s.w.t. untuk memulakan perjalanan agung itu. Menurut hadith yang diriwayatkan tunggangan khas itu saiznya adalah lebih kecil dari baghal dan lebih besar dari himar atau lebih diketahui sebagai Buroq. Pergerakannya, sekali melangkah, sejauh mata memandang.


ISRAK

Israk bermakna perjalanan dibumi yakni bermula di Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin dan diperlihatkan dalam perjalanan tersebut peristiwa-peristiwa yang akan berlaku dan pasti berlaku serta pengajaran disebalik peristiwa tersebut. Mengapa ia berlaku terlebih dahulu dan lebih diberikan pengukuhan di dalam Al-Quran?

Berlakunya Israk adalah sebagai bukti lahiriah yang dapat diperjelaskan Baginda s.a.w. kepada mereka yang cuba mendustakan dan menafikan berlakunya peristiwa tersebut. Penjelasan Baginda mengenai Masjidil Aqsa dan apa yang dilalui Baginda pasti ada dikalangan mereka yang pernah melaluinya dan akan menafikannya jika ia tidak benar. Bahkan disepanjang perjalanan Baginda, terdapat sekelompok kabilah yang berjalan bersama unta mereka dan dinyatakan bahawa mereka akan sampai pada waktu sekian dan sekian. Maka mereka menunggunya dan ternyata apa yang dijelaskan Rasulullah s.a.w. adalah benar.

Penegasan di dalam Al-Quran pula jelas menunjukkan perjalanan Rasulullah ketika Israk tetapi tidak ketika Mikrajnya. Ini adalah ruang dan peluang kepada Rasulullah untuk memperjelaskannya sendiri dan pada masa yang sama, Israk merupakan sesuatu yang dapat digambarkan oleh akal kebiasaan manusia tetapi apa yang berlaku ketika Mikraj adalah berlainan sifatnya. Oleh yang demikian, ia menuntut agar mereka yang mengetahuinya beriman dan meyakini kekuasaan Allah s.a.w.t. yang Maha Menjadikan.



MIKRAJ

Mikraj pula bermakna perjalanan yang bermula dari bumi ke langit . Perjalanan Nabi saw ini disambut oleh Rasul-rasul sebelum baginda, bermula langit pertama hingga mengadap Allah s.w.t. di Sidratul Muntaha. Ketika perjalanan bermula Nabi Muhammad s.a.w. diperintahkan turun di Yastrib (Madinah). Baginda s.a.w. diperintahkan solat dua rakaat. Ketika perjalanan ini, Jibril menceritakan bahawa di Madinah inilah Baginda akan berhijrah dan bermulanya pusat pengembangan Islam. Kemudian, mereka berhenti di Mayam, di kota Syam. Jibril menceritakan kepada Baginda bahawa inilah tempat Nabi Musa a.s. berhenti kepenatan lari keluar negara Mesir setelah dikejar oleh tentera Fir’uan.

Ketika perjalanan yang ketiga pula mereka berhenti di Gunung Tursina, yang merupakan tempat Nabi Musa a.s. menerima kitab Taurat. (Tursina pada masa ini merupakan tempat destinasi pelancong yang tidak putus – putus dikunjungi di Bumi Mesir untuk melihat kemunculan matahari pagi). Seterusnya perjalanan dilanjutkan dan mereka berhenti di Baitil Laham. Jibril menceritakan bahawa di sinilah tempat Nabi Isa a.s. dilahirkan dan bermula sejarah yang luar biasa. Golongan kafir menganggap Nabi Isa a.s. sebagai anak tuhan kerana tidak berbapa. Allah s.w.t. mengajar Nabi Muhammad s.a.w. agar menyoal mereka, "Bagaimana pula dengan Nabi Adam yang tiada ibu tiada bapa". Ini kerana manusia mendewakan akal dalam perkara yang tidak sampai kepada pemikiran mereka. Sedangkan perumpamaan amat mudah, walaupun kita mempunyai mata yang amat sihat lagi terang penglihatan, kita tidak akan nampak sesuatu diwaktu malam melainkan dengan menggunakan lampu. Begitu juga alam kubur dan perkara ghaib, tiada petunjuk yang paling baik melainkan kita terpaksa menggunakan alat yang dipanggil al-Quran Kalamullah untuk mengentahui halal, haram, dosa , pahala dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan