PERUTUSAN SYAWAL 1431H


Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini
YDP ABIM Cawangan Kuala Selangor

Semakin hari bertambah, semakin jauh kehidupan meninggalkan manusia dan semakin meningkat usia seorang kanak-kanak menjadi remaja, seorang belia menjadi dewasa. Ada dikalangan kita yang dijemput Allah bertemu-Nya lebih awal dari kebiasaaan mereka yang semakin tua. Allahu Akbar. Inilah sunnatullah yang harus kita redha dan mengambil pengajaran bersama.

Bersyukurlah kita ke hadrat Allah s.w.t. kerana masih dipilih untuk menyertai sebuah program mega anjuran-Nya dalam memperbaiki jatidiri serta kehidupan yang lebih bermakna. Sebagaimana kebiasaan program-program yang dijalankan, hasilnya adalah bergantung kepada mereka yang menyertainya. Jika keikhlasan mereka untuk membuat perubahan mengatasi segalanya, nescaya dengan izin Allah, mereka akan berubah sesuai dengan firman Allah s.w.t. dalam surah Ar-Ra’d ayat 11;

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”

Marilah sama-sama kita fahami dan hayati makna ayat ini. Perubahan bukanlah sesuatu yang tertakluk hanya kepada diri kita sahaja, bahkan sebenarnya Allah punya kuasa untuk mengubah apa sahaja yang diingini-Nya, namun pilihan diberikan kepada manusia dalam menilai erti syurga dan neraka di dalam diri mereka. Penilaian antara 2 nikmat dan balasan yang Allah tentukan untuk manusia inilah yang sepatutnya menjadi kayu ukur dalam melaksanakan tugasan, amanah serta amalan harian kita. Ia juga tidak terkecuali dalam usaha meraikan 1 Syawal yang bakal menjelang tiba.

Sahabat-sahabat serta adik-adik yang dikasihi,

1 Syawal bakal menjelang maka tinggallah Ramadhan dengan seribu kenangan di dalamnya. Bersama Lailatul Qadr yang tidak dapat kita rasai, bersama kenikmatan berpuasa yang hanya tinggal lapar dan dahaga. Sepanjang Ramadhan, Allah telah ruangkan untuk kita peluang untuk mempertingkatkan usaha memperbaiki dan membina diri sebagai seorang Muslim dan Mukmin yang sejati. Selama sebulan kita bersama telah bermujahadah, dan inilah hadiah yang Allah berikan kepada semua ummat Islam iaitu ‘AidilFitri. Maka, janganlah kita rosakkan anugerah Allah ini dengan perkara yang menjerumuskan kita ke dalam kelompok manusia yang tidak bersyukur dan lupa akan segala nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada manusia.

Apabila Syawal menjelang, usahlah pula kita lupa kepada zakat fitrah yang menjadi kewajipan bagi setiap ummat yang bergelar Muslim. Laksanakanlah ia sebelum tiba solat ‘AidilFitri supaya dapat kita bersama memperlengkapkan usaha Ramadhan kita. Pun begitu, sebagai seorang Muslim, Syawal yang menjelang ini bukanlah tempat untuk kita menjadi saudara kepada syaitan dengan menjadikan pembaziran sebagai cara kita meraikan Syawal yang penuh kegembiraan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Isra’ ayat 26 hingga 27;

(26) “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. (27) Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Maka, hidupkanlah hari kejayaan dan kecemerlangan bagi orang-orang yang bertaqwa ini dengan amalan yang dapat merapatkan dan memberikan makna mendalam kepada diri kita. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w;

“Sesiapa yang menghidupkan malam hari raya fitrah dan adha dengan ikhlas kerana allah s.w.t tidak akan mati hatinya sebagaimana hari dimatikan hati-hati.” (Riwayat Ibnu Majah)

Maka, marilah kita bersama pada malam 1 Syawal itu dibangunkan dengan zikir, takbir, tasbih dan tahmid membesarkan Allah s.w.t. Elakkanlah dari berhibur berlebihan serta melakukan amalan-amalan yang dapat mendatangkan mudharat dan maslahah sama ada kepada fizikal diri atau rohani kita sendiri. Sehinggalah pada pagi 1 Syawal, sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud;
“Dari Anas ia berkata: Rasulullah s.a.w tidak keluar pada waktu pagi hari raya fitrah sehingga ia makan terlebih dahulu beberapa biji kurma. Seterusnya Anas menceritakan bahawa baginda memakan kurma itu dalam bilangan ganjil.”

Bahkan Rasulullah juga menggalakkan dan memberikan kita contoh pada awal Syawal ini dengan memulakan solat sunat yang dikenali sebagai solat sunat ‘AidilFitri. Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

“Dari Al-Barra' ia berkata: Aku mendengar Nabi s.a.w berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (hari raya) ialah sembahyang.” (Riwayat Al-Bukhari)

Maka, marilah kita bersama menjadikan 1 Syawal ini sebagai peluang untuk kita akhiri Ramadhan dengan cara yang paling disukai Allah s.w.t. Teruskanlah mencari keredhaan-Nya serta menjadikan sunnah Rasulullah sebagai pilihan cara hidup yang terbaik. Hidup suburkanlah tali persaudaraan serta eratkanlah hubungan yang jauh atau telah terpisah. Isilah masa dengan saling berziarah dan hadirlah ke dalam masyarakat dengan cara yang baik, dengan pakaian yang baik, berwangi-wangian serta berhiaslah diri selagi ia tidak melanggar syarak yang ditentukan Allah s.w.t dan tidak membazir.

Teruskanlah menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan agar mereka dapat sama-sama merasai kegembiraan berhari raya pada 1 Syawal yang akan menjelang tiba. Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali-Imran ayat 133 hingga 134;

(133) “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (134) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”




Kuala Selangor
7 September 2010 bersamaan
28 Ramadhan 1431
11.40 pagi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan