KURSUS IMAM MUDA


KURSUS IMAM MUDA

Idea asal bermula dari program realiti televisyen yang mendapat sambutan hangat di Astro, Imam Muda. Rancangan ini memberikan idea dalam konteks latihan dan kursus bagi perlaksanaan untuk melahirkan lebih ramai generasi muda yang mempunyai keupayaan dan persiapan untuk mengetuai serta memimpin masyarakat khususnya keluarga dan masyarakat sekitar yang terhampir dengan mereka.

Sebahagian besar dari kita tidak menyedari fungsi sebenar imam di dalam masyarakat. Imam merupakan satu kedudukan kepimpinan di dalam Islam. Pada kebiasaannya, imam akan diperkaitkan dengan soal masjid, kematian dan beberapa perkara berhubung keagamaan semata-mata. Namun, pada hakikat sebenarnya, imam adalah ketua kepada sesebuah komuniti sebagaimana Rasulullah s.a.w. memberikan contoh dalam hidupnya bagaimana imam itu menjadi tempat rujuk, bersifat adil serta beramanah.

Peranan imam bukan dalam lingkungan masjid sahaja, tetapi suatu tugas agama dan sosial yang dapat meninggikan taraf masyarakat dari segi pengetahuan, kesihatan dan sebagainya. Mungkin lebih luas lagi fungsinya ialah menjadi penanggungjawab agama dan sosial setempat yang mesti manjalankan tugas menyebar luaskan semangat keagamaan serta memenuhi khidmat kemanusian kepada sesiapa yang memerlukan setakat yang termampu. Oleh sebab itu seorang imam biasanya, dikehendaki memenuhi syarat-syarat seperti mempunya akhlak yang baik dan boleh dijadikan contoh oleh penduduk setempat khususnya teman-teman sepermainan jika mereka berada di dalam lingkungan persekolahan. Pakaian mencerminkan seorang yang berpegang kuat pada agama dan syarat asas ialah lulus atau terjadi dalam ujian lisan atau tulisan yang dijalankan kepada mereka.

Atas kesedaran dan memahami keperluan itu, kami di ABIM Zon 1 Selangor (Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sabak Bernam) merasakan adalah amat perlu untuk kami menyediakan pengisian terbaik untuk memastikan peserta memahami serta menghayati peranan imam yang sebenar melalui Kursus Imam Muda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan