MANUSIA TAWADUK


MANUSIA TAWADUK


“Daripada kacamata pengembara kita adalah berkelana
Daripada kacamata penguasa kita adalah hamba-Nya yang lemah”

Begitulah bait-bait kata dari lagu yang didendangkan oleh kumpulan Saujana yang sering berkumandang dicorong-corong radio. Kehidupan manusia adalah umpama manusia yang berkelana, mengembara ke satu destinasi yang pasti akan dilalui oleh setiap mereka yang hidup. Namun, dalam perjalanan dan pengembaraan itu, kita juga diingatkan seperti firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Fatihah ayat 4;

“Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan” (Al-Fatihah: 5)


“Tiada satu pun kurnia yang diperoleh seseorang yang bersikap tawaduk kepada Allah, kecuali Allah meninggikan darjatnya” (Hadis Riwayat Muslim)


Ketinggian darjat yang diberikan Allah s.w.t. itu amat berpatutan dengan apa yang dilakukan oleh seseorang yang sangat tawaduk dalam hidupnya. Manusia yang tawaduk berjaya menghilangkan kesombongan dalam hati, tingkahlaku yang meninggi diri, berperasaan hebat dihadapan orang lain serta pelbagai lagi penyakit hati yang mampu meranapkan iman manusia.

Menurut Ibn Al-Qayyim, keutamaan tawaduk adalah kepada agama iaitu mematuhi segala perintah Allah, meyakini apa saja yang dibawa oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Firman Allah dalam surah Al-Furqan ayat 63 menggambarkan diri seseorang yang tawaduk yang juga ciri-ciri ibadurrahman. Firman Allah;

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini” (Al-Furqan: 63)


“Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun seberat biji sawi” (Hadis Riwayat Abu Dawud)


Beginilah peringatan Nabi Muhammad s.a.w. apabila bercerita tentang hati. Maka tidak hairanlah kita, bagaimana seorang ulama’ besar seperti Imam Al-Ghazali begitu mengutamakan soal pembinaan hati dalam setiap ruang kehidupan manusia. Apabila seorang insan atau manusia itu memahami hakikat sebenar makna ayat 4 dari surah Al-Fatihah di atas tadi, maka yang sepatutnya ia tidak melahirkan seorang yang kaya yang berjalan dengan perasaan lebih hebat dari orang lain. Meraka yang diberikan pangkat dan kedudukan berasa lebih dihormati berbanding orang lain. Mereka yang menjadi ketua berasa diri lebih benar dan baik berbanding pekerjanya juga seorang yang berumur merasa lebih tahu berbanding mereka yang lebih muda.

Pesanan yang ditinggalkan Nabi Muhammad s.a.w. ini seharusnya kita sedar dan takut bahawa, solat, puasa, zakat, haji dan segudan g sekalipun amal soleh lainnya, ia bukanlah jaminan kepada kita untuk ke syurga Allah s.w.t. sekiranya di dalam hati kita ini masih ada setitik sahaja kesombongan yang tertinggal. Belajar dari Nabi Muhammad s.a.w. apabila diceritakan seseorang yang gementar untuk bertemu Rasulullah s.a.w. yang dibayangkan sebagai raja diraja, Rasulullah s.a.w. bersabda;

“Sungguh hina engkau. Sesungguhnya, aku bukanlah seorang raja. Aku hanyalah anak seorang wanita yang memakan dendeng di Makkah” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)


Inilah ketawadukan yang ditunjukkan oleh contoh terbaik untuk kita sebagai manusia. Baginda Rasulullah s.a.w. bukan hanya seorang ayah, bahkan ketua negara, ketua pemerintah, raja, panglima tentera, usahawan, pendidik bahkan seorang Nabi Allah. Baginda juga telah diberikan jaminan oleh Allah s.w.t. untuk masuk syurga tetapi itu juga tidak sedikit pun menimbulkan perasaan sombong atau tinggi diri.

Inilah contoh yang terbaik yang harus kita teladani dan dijadikan kayu aras kehidupan yang terbaik. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 21;

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (Al-Ahzab: 21)


Tawaduk merupakan pakaian para anbiya’. Syeikh Ahmad Ibn ‘Athaillah dalam kitab tulisannya yang bertajuk al-Hikam menyenaraikan empat tanda mereka-mereka yang mempunyai ciri-ciri manusia tawaduk iaitu;

a) Tidak marah apabila dimaki.
b) Tidak benci apabila dicela atau dituduh sombong.
c) Tidak haloba pangkat dan darjat di kalangan orang ramai.
d) Tidak rasa dirinya termasuk orang yang disegani dalam hati setiap orang.

Sifat tawaduk Rasulullah s.a.w. sepanjang langkah kehidupannya amat mengagumkan. Baginda sendiri pernah menerima permohonan maaf daripada seseorang, menampung sendiri pakaiannya, menjahit kasutnya dan turut membantu kerja rumah ahli keluarganya. Begitu juga yang berlaku dalam kehidupan sahabatnya seperti Saidina Umar Al-Khattab, meskipun beliau seorang ‘amirul mukminin’, beliau berjalan kaki untuk suatu keperluan sehingga kepenatan. Keadaan itu dilihat seorang pemuda yang sedang menunggang himar.

Saidina Umar berkata kepadanya: “Wahai pemuda, bawa aku, aku benar-benar kepenatan”. Pemuda tadi turun dari keldainya seraya mempersilakan Saidina Umar naik ke atas keldai tersebut. Saidina Umar menolak dan cuma mahu menumpang di belakang pemuda itu hingga masuk ke kota Madinah dan orang melihatnya. Begitulah tawaduknya sahabat Nabi s.a.w. Jika tawaduk diterapkan dalam diri dan keluarga serta masyarakat tanpa mengira pangkat atau keturunan, tentu wujud masyarakat mesra dan bersatu.

Maka, azamlah diri kita bersama untuk buangkan kesombongan diri kita dalam menjalani kehidupan yang sentiasa diredhai Allah s.w.t. Sesungguhnya, pangkat, kedudukan, ilmu atau apa sahaja kemegahan yang diberikan kepada kita hanyalah pinjaman dari Allah s.w.t. untuk kita terus melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi Allah dan sebagai hamba yang mentaati segala perintah yang diberikan kepada manusia. Sesungguhnya diri kita adalah yang utama untuk melakukan perubahan kerana kita adalah yang paling hampir kepada perubahan tersebut. Pada hari ini, sangat sikit ketawadukan yang ada pada diri manusia dan hasilnya manusia yang tawaduk juga semakin sedikit. Adakah kita dari kalangan mereka yang sedikit itu? TUNElah diri kita.


10.07 pagi
10 Oktober 2010
Rumah PKNS, Kuala Selangor


Penulis juga adalah;
Perunding Utama Latihan dan Motivasi IQ Class Management (http://iqclassmanagement.blogspot.com)
Bendahari Agung Briged Bakti Malaysia (BBM)
Setiausaha ABIM Cawangan Negeri Selangor (http://abimselangor.blogspot.com)
YDP ABIM Cawangan Kuala Selangor (http://abimdks.blogspot.com)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan