PENGAJARAN DI SEBALIK AIDILADHA


PENGAJARAN DI SEBALIK AIDILADHA


Menjadi ummat yang sentiasa beruntung adalah suatu perkara yang perlu sentiasa diingati oleh semua Muslim berdasarkan peluang kehidupan serta pilihan Allah s.w.t. untuk terus memeluk Islam sebagai cara hidup serta Iman yang mendasari setiap amalan serta tingkahlaku harian kita. Pada tahun 1431 ini, diharapkan kehadiran hari-hari kebesaran Islam ini, mendatangkan lebih baik tingkatan dari sudut Iman kita juga cara hidup yang Islami. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali-Imran ayat 97 yang berbunyi;

“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan Ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa Yang mampu sampai kepada-Nya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan Ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk”


Inilah kebesaran yang berada di dalam bulan Zulhijjah, bulan ke 12 di dalam kalendar Hijriyyah. Penutup tahun Hijriyyah ini telah Allah datangkan perintah menunaikan haji ke Baitullah yang terletak di Makkatul Mukarramah. Pernah terjadi timbul keraguan dikalangan ulama’ berkenaan yang manakah amalan ibadah yang paling tinggi nilainya. Diriwayatkan oleh Imam Abu Hanifah, sebelum beliau menunaikan haji, persoalan ini timbul dibenaknya. Namun, apabila beliau sendiri yang menunaikan haji dan melihat sendiri pelbagai faedah yang terdapat di dalam ibadat ini, maka tanpa sebarang keraguan lagi beliau menyatakan haji inilah ibadat yang paling tinggi nilainya . Potongan sebuah hadith dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya,

"Rasulullah s.a.w. ditanya, "Amalan manakah yang lebih utama?" Beliau s.a.w. menjawab, "Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya." Ditanya lagi, "Kemudian apakah?" Beliau s.a.w. menjawab, "Jihad fi-sabilillah." Ditanya pula, "Kemudian apakah?" Beliau s.a.w. menjawab, "Haji yang mabrur." (Muttafaq 'alaih).


‘Mabrur’ artinya ialah orang yang mengerjakan haji itu tidak melakukan sesuatu kemaksiatan di dalamnya. Adakah berlaku kemaksiatan di dalam melakukan amalan haji ini? Kerapkali kita membayangkan setiap mereka yang menjadi tetamu Allah, pastinya akan pulang dengan perubahan yang jauh lebih baik dari sebelumnya. Itulah doa kita. Namun harus diingat, perjalanan haji ini bukanlah hanya untuk kembali dengan pangkal panggilan ‘haji atau hajah’ pada nam kita, tetapi perjalanan ini adalah amat suci yang segala isi hati serta amalan yang dilakukan adalah semata-mata kerana Allah s.w.t. Dek kerana itulah, persiapan untuk mereka yang pergi haji adalah amat teliti dan perlu diberikan perhatian kerana ianya adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh orang-orang yang beriman. Antara manfaat-manfaat haji yang dibincangkan oleh Abul A’la Al-Maududi di dalam bukunya ‘Dasar-dasar Islam’ beliau menyatakan bahawa pertama, setiap mereka yang sudah memutuskan untuk menunaikan haji mereka pastinya akan cenderung untuk membuat amalan-amalan kebajikan dan kesolehan. Kecenderungan ini timbul hasil dari keikhlasan untuk menjadi tetamu Allah, bertemu dengan Maha Pencipta di tanah suci. Ini menghasilkan hati dan pemikiran yang sentiasa mencari ruang untuk merapatkan diri dengan Allah sebaik mungkin.

Kedua, pada pakaian ihram yang dikenakan. Ihram itu apa? Ia adalah helaian kain putih yang dikenakan pada tubuh tetamu Allah. Seolah-olah pakaian orang yang mengemis dengan sepasang sepatu. Ini untuk mendatangkan perasaan kesamaan, tiada taraf diantara manusia lain, baik dari segi pangkatnya, hartanya, ilmunya mahupun amalan kehidupannya. Kesamaan ini juga menunjukkan bahawa, setiap manusia ini apabila menjadi tetamu Allah, di dalam berpakaian ihram, mereka perlu meninggalkan segala perhiasan diri, usahlah di tutup kepala mereka, jauhkan diri dari persetubuhan bersama isteri yang telah dihalalkan hubungan, hindarilah percakapan yang tinggi diri serta sia-sia dan tidak dibenarkan berburu sepanjang ihram itu dililit pada tubuh. Maka, akan lahirlah dalam diri manusia itu perasaan aman, tenteram dan sejahtera sepanjang perjalanan mereka di Baitullah. Kesejahteraan ini timbul adalah disebabkan oleh jauhnya perasaan bangga diri kerana melihat kesamarataan dari sudut penampilan dan amalan yang dilakukan.

Terdapat pelbagai lagi manfaat dari tertunainya haji di Baitullah. Antaranya adalah thawaf al-ziarah, sa’i antara al-safa dan marwah, wuquf di Mina, Arafah dan Muzdalifah, melontar jamrah pertama dan berkorban sebagai demonstrasi menumpahkan darah demi agama Allah. Kemudian diteruskan dengan jamrah kedua serta thawaf wada’i akhirnya kembali kepada keadaan normal. Namun dengan beberapa contoh yang diberikan ini harus kita juga dapat merasai semangat untuk menunaikan haji apabila ada kesempatan. Niat perlu mendahului segala amalan kita. Pasanglah niat untuk menunaikan haji dan bersyukurlah dengan peluang yang ada untuk bersama kita menginsafi keadaan diri yang sentiasa berusaha untuk mencari kesempurnaan. Namun, untuk kita semua merasai kebesaran kesejahteraan menunaikan haji di Baitullah ini, harus kita bersama fahami, jerih payah para Nabi khususnya Nabi Ibrahim a.s. bersama kaum kerabat Baginda dalam memikul tanggungjawab memulakan sejarah tertunainya perintah Allah s.w.t. di dalam rukun Islam yang kelima ini. Inilah Haji yang dari sudut bahasa arabnya membawa erti membuat keputusan untuk mengunjungi tempat suci.

Bagi ummat yang masih belum diberikan keizinan oleh Allah untuk menunaikan haji ke Baitullah di Makkah, adalah digalakkan untuk melakukan ibadah Qurban yang bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai ‘al-an’am’ iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada hari ‘Nahr’ atau Hari Raya Haji (‘AidilAdha) iaitu 10 Zulhijjah dan pada hari-hari ‘Tasyriq’ iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah kerana semata-mata untuk mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.

Menurut Imam Syafie, hukum melakukan ibadah Qurban ini adalah sunat Muakkadah iaitu sunat yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Kauthar ayat 2 berbunyi;

“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)”


Hukum Qurban ini pula akan menjadi wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti seseorang berkata "lembu ini aku jadikan Qurban". Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram. Daging Qurban tidak dibenarkan dimakan oleh yang empunya Qurban dan tanggungannya. Usaha melaksanakan ibadah Qurban ini adalah satu usaha untuk menunjukkan tanda syukur dan ketaatan yang tinggi kepada Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya di dalam kitab al-Aziz dari surah Al-Haj ayat 37;

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya”


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

"Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu" (Hadis riwayat Tirmidzi)


Muslim yang terbaik adalah sentiasa mencari amalan yang semakin mendekatkan dirinya dengan Allah s.w.t. Sesuai dengan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Haj di atas, amalan yang baik itu tentu dilihat dari sudut keikhlasan serta niat dilaksanakan sesuatu ibadah itu. Melihat kepada pengajaran dan ibrah yang dapat dizahirkan dari amalan ber’Qurban’ ini, adalah yang menjadi keutamaan adalah memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s. Beginilah yang diajarkan Islam bahawa ketaatan merupakan suatu tuntutan penting dalam setiap perintah Allah s.w.t. Boleh kita bersama perhatikan bagaimana peristiwa pengharaman arak yang disambut baik para sahabat tanpa banyak soal dan menggunakan perbandingan akal dalam melaksanakan ibadah. Perbandingan akal pada hari ini akhirnya banyak meninggalkan kesan kepada generasi muda yang akhirnya tidak melakukan amal ibadah yang dituntut dengan sesempurnanya.

Keduanya, kita juga mengharapkan akan lahir dari ibadah ini tanda bersyukur kepada Allah s.w.t. terhadap nikmat-nikmat-Nya yang melimpah-ruah. Tidak cukup dengan nikmat fizikal yang Allah s.w.t. berikan umpama kesihatan, makanan dan sebagainya, bahkan nikmat sebagai Islam dan sentiasa diberikan ruang dan menjadi pilihan Allah untuk sentiasa mengingatinya. Kesyukuran ini merupakan salah satu ciri penting yang mesti ada pada nilai diri seorang hamba sebagaimana yang dikisahkan oleh Saidatina Aisyah ketika dikejutkan suaminya Baginda Rasulullah s.a.w. untuk bangun bersolat malam (Qiyamullail). Apabila dilihat pada kaki Baginda s.a.w. bengkak-bengka kerana solat malamnya, maka ditanya oleh saidatina Aisyah, “Wahai Rasulullah, bukankah engkau telah dijanjikan syurga, diampunkan dosa, mengapa engkau melakukan solat sebegini?” Maka jawab Baginda Rasulullah s.a.w. “Bukankan aku hamba-Nya yang bersyukur?”.

Ketiga, melalui amalan ibadah Qurban ini juga akan berjaya menanam dan memupuk perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin, yang bernasib baik dengan mereka yang diberikan ujian oleh Allah s.w.t. Ini bukanlah bermakna mereka yang ditimpa malang tidak diingati oleh Allah s.w.t., tetapi harus kita khuatiri bagi mereka yang aman, bahawasanya kita juga akan tiba masa yang sama, adakah kita akan terus bersyukur apabila ditimpa musibah atau menjadi kufur kerana putus asa dengan rahmat Allah s.w.t.? Begitu juga dalam kerja-kerja penyembelihan Qurban itu, terlihat contoh-contoh kasih sayang yang diperintahkan Allah terhadap binatang sembelihan. Bahkan, pertumpahan darah binatang Qurban tersebut tersisip satu ibrah perjuangan hidup dan mati syahid sebagai pejuang agama Allah s.w.t.

Oleh yang demikian, menurut Mazhab Syafie, ibadah ini disunatkan kepada mereka yang mempunyai harta yang melebihi keperluan darinya dan tanggungannya pada Hari Raya ‘Aidil ‘Adhha dan hari-hari Tasyriq termasuklah orang yang sedang mengerjakan haji, manakala kanak-kanak tidak disunatkan melakukan ibadah Qurban. Sebagai tanda syukur, maka eloklah bersama kita merancang untuk melaksanakan ibadah Qurban ini sementara peluang untuk menunaikan Haji di Baitullah. Lakukanlah ia dengan niat dan suci dan benar-benar ikhlas mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Marilah kita TUNE diri kita adakah kita bersama dalam urusan ibadah ini atau sekadar melihat dan merasai kehadirannya tanpa mempelajari ibrah perjuangan dan pengorbanan melalui sejarah pensyariatannya?


2.20 petang
13 Oktober 2010
Rumah PKNS, Kuala Selangor


Penulis juga adalah;
Perunding Utama Latihan dan Motivasi IQ Class Management (http://iqclassmanagement.blogspot.com)
Bendahari Agung Briged Bakti Malaysia (BBM)
Setiausaha ABIM Cawangan Negeri Selangor (http://abimselangor.blogspot.com)
YDP ABIM Cawangan Kuala Selangor (http://abimdks.blogspot.com)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan