SEGALA AMAL BERMULA DENGAN NIAT


Justify FullSEGALA AMAL BERMULA DENGAN NIAT


Apa jua amalan yang dilakukan oleh seseorang Muslim, ia akan menjadi lebih bermakna untuk dirinya adalah apabila amalan itu dimulai dengan niat. Niat ialah sengaja yang disembunyikan di dalam hati. Ia juga merupakan suatu keazaman di dalam hati di dalam melaksana sesuatu perbuatan atau amal. Menurut imam-imam Syafie, Maliki dan Hambali, niat diwajibkan dalam setiap amalan kita.

Kita juga digalakkan untuk mendatangkan niat dalam kegiatan atau perbuatan yang hukumnya mubah atau jawaz (iaitu yang boleh dilakukan dan boleh pula tidak) seperti makan dan minum. Ia boleh disertakan dengan niat agar kuat beribadat serta bertaqwa kepada Allah apabila hasil daripada makanan tadi memberikan tenaga buat diri kita. Maka, secara keseluruhannya sudah tentulah, setiap amalan itu adalah digalakkan untuk dimulakan dengan niat dan ia merupakan kesempurnaan amalan itu sendiri.

“Niat seseorang itu lebih baik daripada amalannya”

Potongan hadis ini bermaksud, meletakkan niat kepada sesuatu perkara yang disukai Allah s.w.t. tetapi gagal melaksanakannya disebabkan halangan yang mendesak adalah lebih baik daripada melakukan sesuatu amal tetapi tidak disertakan dengan sebarang niat. Oleh itu, marilah kita bersama fahami bahawasanya berniat mengerjakan sesuatu amalan yang bersangkutan dengan Allah s .w.t. itu mendapat pahala. Maka, keutamaan niat adalah kerana Allah s.w.t.

NIAT MENENTUKAN TINDAKAN
Apabila seseorang manusia memulakan perbuatan atau tingkahlakunya dengan niat tertentu, ia akan mendorong mereka untuk melakukannya sehingga tercapai niat yang diidamkan. Tidak kira bagaimana dan apa halangan yang dilalui mereka, usahanya tidak akan terhenti melainkan kerana disebabkan oleh sesuatu yang tidak dapat diatasi atau mendesak diri mereka untuk tidak melakukan apa yang diniatkan. Ini amat bersesuaian dengan sebuah hadis dari Amirul Mukminin Abu Hafs iaitu Umar bin Al-Khattab bin Nufail bin Abdul ‘Uzza bin Riah bin Abdullah bin Qurth bin Razah bin ‘Adi bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib al-Qurasyi al-‘Adawi r.a. berkata, “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya;

“Sesungguhnya, setiap amal perbuatan itu mestilah disertai dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang telah menjadi niatnya. Maka barangsiapa yang hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itupun kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehinya, ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya kepada sesuatu yang dimaksud dalam hijrahnya itu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini secara jelasnya membincangkan soal niat dan tingkahlaku yang berhubung dengan niat. Teguran ini dilontarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat yang berhijrah bersama Baginda s.a.w. tetapi bukan atas niat hijrah kerana ingin menyelamat iman serta untuk menegakkan serta menyebarkan agama Allah. Sebaliknya mereka amat tertarik kepada seorang wanita yang bernama Ummu Qais. Jika difikirkan melalui logika akal manusia, itu adalah biasa sahaja, tetapi di dalam konteks perjuangan memartabatkan Islam sebagai cara hidup ketika perjuangan bersama Baginda s.a.w. ia adalah sesuatu yang amat tidak patut sama sekali.

Ini kerana, di dalam suasana yang begitu gawat dengan tekanan dan amarah kafir Quraisy itu, mereka terpaksa menempuh segala cabaran perjalanan yang jauh itu dengan keikhlasan dan pahala yang dinantikan adalah amat besar. Hijrah mereka adalah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. dan secara tidak langsung membuktikan bahawasanya Allah Maha Mengetahui apa yang tersurat mahupun yang tersirat di dalam diri manusia.

NIAT MEMERLUKAN KEIKHLASAN
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Bayyinah ayat 5;

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar”


Jelas sekali menunjukkan bahawasanya setiap amalan itu harus disulami dengan keikhlasan yang unggul dalam melestarikan amalan yang diterima Allah s.w.t. Hakikat keikhlasan menurut Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’-Ulumuddin menjelaskan bahawa ikhlas ialah sesuatu yang bersih dari campuran yang dicemarinya dinamakan sesuatu yang murni. Perbuatan membersihkan dan memurnikan itu dinamakan ikhlas.

Pendapat al-Fudhail berkata bahawa, “Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’ dan beramal kerana manusia adalah syirik sedang keikhlasan itu ialah bila Allah s.w.t. membebaskan kamu dari kedua sifat itu.” Sifat keikhlasan yang tinggi ini maka melahirkan peribadi agung sebagaimana Khalifah pertama Abu Bakar As-Siddiq. Keikhlasan berjuang bersama-sama Baginda Rasulullah s.a.w. meletakkan beliau sebagai orang yang dipercayai oleh Rasulullah s.a.w. Sifat As-Siddiq ini disebutkan di dalam sebuah hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud;

“Sesungguhnya berkata benar itu menyebabkan kebajikan dan kebajikan menyebabkan masuk syurga. Ada orang yang suka berkata benar hingga ditetapkan sebagai orang yang siddiq di sisi Allah s.w.t. Dan didustakan itu menyebabkan masuk neraka. Ada orang yang suka berdusta hingga ditetapkan di sisi Allah sebagai pendusta.”

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran dari surah Al-Ahzab ayat 23;

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun”


Kebenaran dalam niat dan kehendak merupakan salah satu dari lima tempat yang digunakan dalam menyampaikan hal-hal yang benar atau bersifat As-Siddiq. Selain itu, ia juga digunakan dalam kebenaran perkataan, benar dalam keteguhan jiwanya, menepati setiap apa yang telah diazamkannya, serta benar di dalam amalannya.

IKHLAS LAWANNYA RIYA’
Hakikat riya’ ia berasal dari perkataan ru’yah yang bermakna melihat. Ia adalah sifat yang amat berlawanan dengan ikhlas bahkan di dalam konteks perbincangan niat yang ikhlas. Riya’ bermaksud ingin dilihat orang ramai supaya mendapat kedudukan bahkan ia juga berlaku dalam suasana kita melakukan ibadah. Ketahuilah kita semua bahawa, Imam Al-Ghazali meninggalkan pesannya bahawa, riya’ ini mempunyai beberapa tahap dan seberat-berat tahapnya adalah menunjuk-nunjuk dengan pokok keimanan. Golongan ini, dengan lidah mereka mengucapkan dua kalimah syahadah dan mengakui keesaan Allah tetapi di dalam hati mereka mendustai apa yang mereka ucapkan sendiri.

Golongan yang pertama mereka membantah kewujudan syurga dan neraka serta alam akhirat. Golongan yang kedua pula ialah golongan yang menghadiri solat berjemaah kerana takut dicerca dan dicela oleh orang lain. Begitu juga dengan amal ibadahnya yang lain. Ketakutan mereka bukan lagi kerana takutnya terhadap azab Allah s.w.t. Manakala golongan yang ketiga pula adalah mereka yang amat rajin menunaikan solat sunat dikala orang ramai melihatnya, tetapi jika dia bersendirian, dia amat malas untuk melakukannya.

Golongan keempat pula adalah dari kalangan mereka yang menyempurnakan sesuatu amalan dihadapan orang lain yang pada kebiasaannya ia akan melakukannya pada kadar yang biasa seperti menyempurnakan sujuk dan rukuk mereka. Golongan yang kelima pula ialah mereka yang suka melakukan perkara yang jika ditinggalkan tidak mendatangkan dosa untuknya seperti sujud yang panjang dan sebagainya. Golongan yang keenam dan yang terakhir adalah mereka yang membuat atau mengerjakan pelbagai amalan tambahan dengan mengharapkan orang lain menilai mereka sedangkan jika tidak ada sesiapa bersama mereka, nescaya mereka tidak akan melakukan sedemikian.

NIAT ADALAH SESUATU YANG NILAIANNYA BERDASARKAN TAQWA
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Haj ayat 37;

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya”


Secara jelasnya dari ayat Allah ini, adalah disebabkan oleh pada zaman jahiliyah, jika mencari dan mengharap redha dari tuhan mereka, mereka akan melakukan sembelihan atau korban dan darah dari korban tersebut disapukan di dinding-dinding Ka’bah seolah-olah sembelihan mereka itu disediakan untuk tuhan mereka. Allah s.w.t. melarang perintah korban itu sebagaimana yang dibuat seperti zaman jahiliyah tersebut. Bahkan Allah s.w.t. peringatkan disebalik ibadah korban yang dijalankan itu, nilaiannya hanyalah berdasarkan ketaqwaan yang ada pada diri kita.

Dari Abu Hurairah, iaitu Abdur Rahman bin Shakhr r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah s.w.t. itu tidak melihat kepada tubuh-tubuhmu, tidak pula kepada bentuk rupamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hatimu sekalian." (Riwayat Muslim)

Jelas sekali di dalam hadis ini, hati-hati yang disebutkan adalah merujuk kepada hati-hati yang takut kepada Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

“Akulah manusia yang paling takut kepada Allah di antara kamu semua.”

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Fatir ayat 28;

“Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Al-A’raf ayat 154;

“Dan apabila kemarahan Nabi Musa itu reda, dia pun mengambil lauh-lauh Taurat itu yang dalam naskhahnya terkandung petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan mereka (daripada melanggar perintahNya)”

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Bayyinah ayat 8;

“Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalahan mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan mereka pun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya”

KITA AKAN DIBANGKITKAN BERDASARKAN NIAT KITA
Hadis dari Ummul mukminin Saidatina Aisyah r.ha. berkata, “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Ada sepasukan tentera yang hendak memerangi Ka'bah, kemudian setelah mereka berada di suatu padang dari tanah lapang lalu dibenamkan dengan yang pertama sampai yang terakhir dari mereka semuanya." Aisyah bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimanakah semuanya dibenamkan dari yang pertama sampai yang terakhir, sedang di antara mereka itu ada yang pedagang serta ada pula orang yang tidak termasuk golongan mereka tadi?"

Rasulullah s.a.w. menjawab, "Ya, semuanya dibenamkan dari yang pertama sampai yang terakhir, kemudian nantinya mereka itu akan dibangkitkan dari masing-masing kuburnya sesuai niatnya sendiri untuk dihisab dosa atau tidaknya.” (Muttafaq 'alaih)

Sebagai kesimpulannya, nilai amalan dan perbuatan manusia adalah berdasarkan niat yang diutarakan di dalam hati mereka. Kemurnian, keikhlasan serta kesungguhan tindakan adalah bergantung kepada ketaqwaan serta tindakan susulannya. Namun, di dalam hadis di atas juga menjelaskan, niat itu tidak melepaskan manusia dari tanggungjawab duniawinya di mana, jika mereka berada di dalam lingkungan suatu golongan yang berkecimpung dengan kemaksiatan dan kemungkaran, maka apabila Allah s.w.t. mendatangkan azab atau siksa kepada kaum itu, maka yang baik niatnya juga akan mendapat balasan yang setimpal juga.

Hadis ini mengingatkan kita tentang 2 perkara iaitu, pertama, tanggungjawab kita untuk melakukan dakwah kepada kelompok yang melakukan kemungkaran ini. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Maidah ayat 2;

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaan-Nya (dengan mengerjakan Ibadat Haji di tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya)”


Berkata Abu Abdillah iaitu Jabir bin Abdullah al-Anshari r.a. berkata, “Kita berada beserta Nabi s.a.w. dalam suatu peperangan (Tabuk) kemudian beliau s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya di Madinah itu ada beberapa orang lelaki yang engkau semua tidak menempuh suatu perjalanan dan tidak pula menyeberangi suatu lembah, melainkan orang-orang tadi ada besertamu (yakni sama-sama memperoleh pahala) mereka itu terhalang oleh sakit (maksudnya andaikata tidak sakit pasti ikut berperang)." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Kedua, larangan atau peringatan untuk mengelakkan diri dari bergaul dengan mereka yang datangnya dari kelompok ini. Namun bukan bermakna terus meninggalkan mereka tetapi melalui beberapa syarat sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya;

“Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran ia hendaklah mengubahnya dengan tangannya, sekiranya ia tidak mampu, maka hendaklah dengan lisannya, sekiranya tidak mampu juga, dengan lidahnya dan jika tidak mampu juga hendaklah ia mengubahnya dengan hati dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.”


5.33 petang
22 Oktober 2010
Rumah PKNS, Taman Malawati, Kuala Selangor


Penulis juga adalah;
Perunding Utama Latihan dan Motivasi IQ Class Management (http://iqclassmanagement.blogspot.com)
Bendahari Agung Briged Bakti Malaysia
Setiausaha ABIM Cawangan Negeri Selangor (http://abimselangor.blogspot.com)
YDP ABIM Cawangan Kuala Selangor (http://abimdks.blogspot.com)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan