IKHLAS DALAM BERDAKWAH


IKHLAS DALAM BERDAKWAH


Berdakwah merupakan tugas yang diwarisi kita dari Rasulullah s.a.w. serta para rasul sebelum Baginda. Objektif utama perlaksanaan kerja dakwah ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Pak Natsir di dalam bukunya Fiqhud Dakwah adalah menyampaikan khabar berita serta peringatan kepada ummat yang dikatakan sebagai ummat yang terbaik. Ramai dikalangan para ‘ulama’, pemikir, ahli akademik membawa diri mereka ke hadapan dan menyatakan tentang kehidupan berdakwah serta usaha-usaha dakwah yang mereka lakukan.

Perkembangan kerja dakwah dari sudut retorika atau ceramah pada hari semakin berkembang dan semakin ramai. Mungkin ini petunjuk kepada keberlangsungan Islam itu di dalam masyarakat. Namun, timbul persoalan, mengapa semakin ramai pendakwah, tetapi semakin tinggi maksiat dan gejala yang merosakkan? Seorang sahabat saya ada menyebut, “selagi ummat Islam mengejar dunia, Islam tidak akan menguasai dunia”, benarkah begitu? Apakah ummat kita hari ini sibuk mengejar dunia?

Di dalam sebuah Majalah yang dikongsikan teman saya bertajuk Mihwar membincangkan tentang 30 nasihat buat pendakwah dan nasihat pertama di dalamnya adalah tentang keikhlasan. Apa makna ikhlas? Menurut As-Syahid Imam Hassan Al-Banna; “Yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah setiap akh Muslim mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan ganjaran pahala dari-Nya. Semua perkataan, amalan dan jihad tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kedudukan terkemuka atau mundur. Dengan itu beliau menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang mengejar sesuatu atau kepentingan.”

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Al-Karim yang maksudnya;

“Katakanlah olehmu: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian itulah aku diperintahkan.” (Al-An’am: 162 – 163)

Oleh yang demikian, di dalam urusan berdakwah, seorang da’i yang ikhlas akan sentiasa merasa senang jika kebaikan terlaksana ditangan saudaranya sesama da’i, sebagaimana dia juga merasa senang jika terlaksana ditangannya. Para da’i yang ikhlas akan menyedari kelemahan dan kekurangannya. Oleh kerana itu mereka sentiasa membangun amal jama’i dalam dakwahnya. Sentiasa menghidupkan ‘syura’ dan mengukuhkan peringkat dan sistem dakwah. Berdakwah untuk kemuliaan Islam dan umat Islam, bukan untuk meraih populariti, glamor dan membesarkan diri atau persatuannya semata-mata.


Muat turun artikel disini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan