DOA YANG AKAN DIMAKBULKAN


DOA YANG AKAN DIMAKBULKAN


Sesungguhnya apabila Allah s.w.t. ingin menunjukkan kasih sayang-Nya kepada manusia, maka Allah s.w.t. adalah sesungguhnya Tuhan Yang Maha Mengasihani akan cepat memakbulkan sebarang permintaan hamba-Nya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud;

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka), Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul” (Al-Baqarah: 186)

Sahutlah seruan Allah s.w.t. dalam segala urusan dunia ini dan utamakanlah akhirat dalam ibadah seharian kita. Kesukaran hidup harian kita adalah berpunca dari kurangnya berdoa dan kurangnya kita sebagai insan ini menyahut seruan Allah s.w.t. Namun itu bukan bermakna Allah s.w.t. menafikan hak dalam memakbulkan doa yang dipinta. Allah s.w.t. telah menjanjikan bahawa setiap permintaan hamba-Nya pasti akan dimakbulkan. Ternyata, tiada pernyataan dari kalimah Allah s.w.t. bila ianya akan dimakbulkan. Oleh yang demikian, sekiranya Allah s.w.t. lambat memakbulkan doa-doa kita, maka anggaplah bahawasanya Allah s.w.t. sebenarnya sedang menguji kita. Bersabarlah. Menurut al-Khatabi, “Jika Allah tidak menjawab doa seseorang, Dia akan memberikan kepadanya ketenangan dan kelapangan dalam hatinya atau mengelakkan dirinya daripada kecelekaan, atau menggantinya dengan pahala.”

Menurut hukama’ pula, “Manusia menyangka doa mereka tidak dimakbulkan, sedangkan sebenarnya ia dimakbulkan melebihi daripada apa yang dipohon, atau ia menolak dengan musibah atau penyakit lebih banyak daripada apa yang dipinta, atau diberikan ganjaran pada hari Kiamat.” Yakinilah kepada Allah s.w.t. kerana sesungguhnya Dia tidak pernah tidur. Sesungguhnya Allah s.w.t. itu Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Dia pasti merencana sesuatu yang terbaik untuk kita. Sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud;

“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah: 216)
Bersangka baiklah kepada Allah s.w.t. kerana Dia berada di mana sahaja pada setiap masa. Dia Melihat, Dia Mendengar, Dia Tertinggi dan Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Oleh itu, tiada yang lebih baik daripada apa yang telah ditentukan oleh-Nya. Firman Allah s.w.t. di dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud, “Aku bersama sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, maka bersangka tentang-Ku apa sahaja yang kamu ingini.”





Muat turun artikel disini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan