AL-QURAN; RISALAH NABI YANG AMANAH


AL-QURAN; RISALAH NABI YANG AMANAH



“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kalimah-kalimah-Nya (kitab-kitab-Nya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk."
(Al-A’raf: 158)


Inilah usaha dakwah yang telah dipelopori oleh Baginda Rasulullah s.a.w. sejak 1400 tahun yang lalu. Usaha dakwah yang memberikan khabar gembira yang juga menjadi pemisah antara dunia kejahilan kepada dunia kebenaran dan kesaksian. Menjadi pemisah antara dunia yang penuh kegelapan kepada dunia yang penuh dengan pencahayaan. Ia adalah suatu pengisytiharan tentang satu sistem kehidupan yang syumul dan terbaik yang perlu dimiliki oleh setiap manusia. Ia memenuhi fitrah penciptaan-Nya.

Usaha dakwah Ar-Rasul s.a.w. ini tidak berdiri dengan sendirinya, bahkan suatu kerja dakwah yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. yang bersamanya didatangkan cahaya Al-Quran sebagai petunjuk dan rujukan sepanjang zaman. Pejuang-pejuang dakwah ini, dahulunya terdiri daripada kelompok muhajirin dan ansar. Mereka berjuang bukan kerana kedudukan atau kemegahan, tetapi dipenuhi jiwa mereka dengan sifat ihsan. Seoalah-olah mereka melihat Allah s.w.t. tetapi jika tidak pun, mereka sangat tahu dan percaya bahawa Allah s.w.t. sedang melihat mereka.


“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus. Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.”
(Asy-Syura: 52-53)


Kesempurnaan dakwah yang telah diketuai oleh Baginda Rasulullah s.a.w. ini perlu diteruskan dan dijadikan motivasi dalam diri setiap insan yang bergelar Muslim. Rujukan utamanya adalah Al-Quran yang mana pada hari ini, setiap kelompok manusia baik yang muda, tua, belia atau remaja, mereka semakin hari semakin menjauhi cahaya dalam hidup mereka yakni Al-Quran. Cahaya ini sudah tidak menerangi hati-hati mereka. Cahaya ini sudah mula dikesampingkan dan hati-hati mereka sudah mula berada di dalam kegelapan dan akhirnya jauh dari landasan kehidupan yang benar dan dikasihi Allah s.w.t.

Marilah kita berusaha untuk mengembalikan cahaya ini di dalam hati. Buat pejuang-pejuang dakwah hari ini, biarlah Al-Quran ini bertakhta di dalam benak fikir kita agar ia mampu memberikan petunjuk untuk kita sentiasa memperbaiki dan diperbaiki tingkahlaku dan amal dalam usaha menyebarkan dakwah agama yang mulia ini.




MUat turun artikel ini di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan