CIRI MUKMIN YANG BERJAYA


CIRI MUKMIN YANG BERJAYA


Seringkali kita sebagai manusia berusaha untuk mencari cara dan sebahagiannya memperbaiki cara untuk mencapai kejayaan terbaik di dalam kehidupan di dunia ini. Namun adakah kejayaan yang dicarai itu adalah kejayaan yang sebenar hak milik kita? Kejayaan adalah hakmilik mutlak Allah s.w.t. Dialah yang menentukan sesiapa yang berjaya bergantung kepada bagaimana mereka berusaha dan setinggi mana tawakal mereka kepada Allah s.w.t.

Antara ciri-ciri seorang Mukmin yang berjaya adalah mereka yang khusyuk di dalam solat mereka. Berapa ramai dikalangan kita hari ini, tergesa-gesa dalam melangsaikan amanah Allah s.w.t. ini. Ianya dilakukan hanya pada kadar yang biasa serta hilang kekhusyukan kesibukan dunia yang mengisi segenap ruang jiwa yang ada. Kenangkanlah, jika urusan yang Alah s.w.t. yang Maha Berkuasa dan Pemberi Rezeki dilakukan dengan tidak bersungguh-sungguh, adakah layak kita menerima bantuan dari-Nya? Namun Allah s.w.t. tidak pernah langsung bergantung kepada manusia sebaliknya kitalah yang bergantung kepada-Nya.

Mukmin yang berjaya juga merupakan seorang yang menjaga dirinya daripada terlibat dengan perkara-perkara yang melalaikan dan tidak berfaedah. Sebagaimana catatan Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni di dalam bukunya ‘La Tahzan’, beliau menyatakan bahawa, usahlah membiarkan diri ini dari tidak melakukan apa-apa kerana dengannya kita akan mula melakukan sesuatu yang sia-sia. Manusia yang banyak berehat akan mula melayan nafsu dan keinginan di dalam diri mereka.

Tidak lupa juga untuk berjaya, kita seharusnya banyakkan bersedekah dan mesti membayar zakat. Zakat dari sudut bahasa bermaksud pembersihan. Ini adalah perkara penting dilakukan untuk memastikan pembersihan dari sudut harta yang dicari itu agar mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. Berapa ramai hari ini ummat Islam kita yang kaya dan bermewahan, tetapi langsung tidak berzakat bahkan merasakan berat untuk memberi. Jika mereka memberi sekalipun, niat mereka hanyalah untuk mendapatkan perhatian dari masyarakat.

Kejayaan seorang Mukmin juga bergantung kepada bagaimana kuatnya diri mereka untuk menjaga kemaluannya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t. Ini jelas dalam pesanan Rasulullah s.a.w. bahawasanya Baginda menyatakan bahawa malu itu adalah sebahagian dari iman. Maka, apabila hilang malu, maka ketika itu hilanglah iman mereka. Kekhuatiran kita semua adalah kepada masyarakat yang berada di sekitar kita. Dengan jelas dapat kita lihat bahawa anak-anak sudah mula tidak malu serta tidak menjaga amanah dan maruah diri mereka. Semua ini disebabkan hilangnya daya jihad ibu bapa di rumah. Ibu-ibu tidak lagi berjihad menjaga maruah suami dan keluarga serta amanah suami, si suami tidak lagi malu untuk tidak ke masjid dan berjihad dengan kuasa dan umur mereka. Akhirnya kejayaan dikecapi tetapi tidak memiliki kecemerlangan di dalamnya.

Jelas sekali, amanah merupakan sesuatu yang penting kerana ciri yang terakhir bagi seorang Mukmin yang berjaya adalah mereka yang menjaga amanah dan janji yang diberikan kepada mereka. Amanah yang diberikan itu dilaksana dengan penuh tanggungjawab serta janji ditepati dengan sebaik mungkin. Marilah kita muhasabahkan diri kita dan cerminkan diri sejauhmana kita ini seorang Mukmin yang berjaya. Kejayaan yang dicari bukanlah semata-mata di dunia bahkan di akhirat. Apabila kita mengejar dunia, maka dunia akan menjarakkan kita dengan akhirat, sebaliknya apabila kita mengejar akhirat, dunia akan merapati kita.




Muat turun artikel ini di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan