ISLAM AGAMA RISALAH DAN DAKWAH


ISLAM AGAMA RISALAH DAN DAKWAH


Penurunan risalah Al-Quran Al-Karim merupakan suatu ketetapan dari Allah s.w.t. di dalam tujuan merintis kehidupan manusia yang bertamadun, berpegangan serta kembali kepada ajaran sebenar, mengEsakan Allah s.w.t. serta merubah cara hidup beradab serta berperibadi contoh kepada setiap yang melihat juga yang bersama mereka. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Saba’ ayat 28 yang bermaksud;

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk ummat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).”
(Saba’ :28)

Risalah ini telah disampaikan kepada Ar-Rasul Nabi Muhammad s.a.w. lebih 1400 tahun yang lalu. Baginda melaksanakan tugasnya dengan baik menurut perintah dari Yang Maha Esa. Rasulullah s.a.w. memulakan perjalanan menyampaikan risalah ini melalui proses pengembalian fitrah manusia kepada aqidah Islam yang sebenar. Namun, Rasulullah s.a.w. telah lama wafat meninggalkan ummat manusia. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Az-Zumar ayat 30 hingga 31 yang bermaksud;

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu.”
(Az-Zumar: 30 – 31)

Namun kewafatan Baginda Rasulullah s.a.w. bukanlah bererti tamatnya tugas dakwah yang telah dipeloporinya, bahkan, Nabi Muhammad s.a.w. mendahului di atas satu landasan kereta api yang panjang, zaman berzaman. Baginda Rasulullah s.a.w. sudah berada di dalam gerabak yang pertama dan disusuli dengan gerabak para sahabat yang menyebar serta memperkembangkan Islam keseluruh pelusuk rantau dunia ini. Maka adalah jelas sekali bahawa, kita hari ini juga memikul serta bertanggungjawab kepada dakwah yang sama.

Ini jelas sekali dapat kita fahami dari kata-kata Rabi’ bin Amir apabila beliau dihantar kepada Rustam pemimpin Parsi. Rustam bertanya, “Untuk apakah kamu ke mari?” Rabi’ menjawab, “Aku tidak datang ke sini, tetapi aku telah dihantar ke sini oleh Allah s.w.t. bagi mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya (kegelapan kufur), dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”


DAKWAH MELANJUTKAN RISALAH

Tugas kita adalah menyambut serta menyambung tugas yang telah dimulai oleh manusia agung penghulu kepada para nabi. Dakwah merupakan satu tugas yang mulia yang wajib dipikul oleh setiap ummat manusia. Sebagaimana yang dapat difahami dari ayat surah Saba’ di atas, tugas dakwah yang dipikulkan kepada Rasulullah s.a.w. adalah berita gembira dan peringatan dan ianya dikhususkan kepada seluruh ummat manusia.

Berita gembira yang disampaikan kepada manusia adalah hadiah yang diberikan Allah s.w.t. serta darjat sebaik-baik kejadian sebagaiman di dalam firman-Nya di dalam surah At-Tiin ayat 4 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (At-Tiin: 4)

Manusia merupakan ciptaan yang paling sempurna penciptaannya. Sempurna dari sudut penciptaan jasmaninya yang berbeza jelas dari makhluk-makhluk lain yang hidup. Bahkan, begitu sempurna sekali penciptaannya dari sudut kerohanian dan emosi mereka. Anugerah yang tidak terhingga ini bukanlah sesuatu yang kita pinta setiap hari. Bahkan, ia diberikan sentiasa tanda kasih dan sayangnya Allah s.w.t. kepada setiap hambanya. Pancaindera anugerah Allah s.w.t. sebagai contohnya, menjadikan manusia itu peka kepada persekitarannya dan merasai perkaitan antara keperluan manusia dan ciptaan makhluk yang lainnya. Keizinan dari Allah s.w.t. kepada pernafasan, juga merupakan suatu yang amat penting walaupun bagi segelintir kita hanya adalah perkara rutin yang biasa, namun adakah mampu kita untuk hidup tanpanya?

Kemuliaan manusia terus diangkat oleh Allah s.w.t. dengan pemberian ilmu kepada manusia. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 31 hingga 32 yang bermaksud;

“Dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: "Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar. Malaikat itu menjawab: "Maha Suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Al-Baqarah: 31 – 32)

Anugerah hati juga kepada manusia ini menjadikan ia lebih sempurna lagi. Maka, pada hatinya akan ada perasaan baik atau buruk serta sekaligus menjauhkan diri dari keburukan dan sentisa mencari-cari kebaikan. Segala unsur ini telah banyak diterjemahkan oleh para ilmuan moden dengan pelbagai istilah dan perkaitannya. Secara umumnya, nikmat-nikmat Allah s.w.t. kepada manusia amat jelas pertama dari sudut fizikal manusia (jasmani), emosi manusia (hati), rohani manusia (fitrah wahyu) serta intelektualnya (ilmu).

Tujuan sebenar anugerah Allah s.w.t. ini adalah untuk memastikan manusia ini punya bakat dan potensi untuk berkembang serta menjadi makhluk yang jauh lebih baik berbanding yang lainnya. Lebih tepat lagi, apabila setiap anugerah Allah s.w.t. itu, digunakan berdasarkan perintah serta sunnah dari Allah s.w.t. maka sudah tentulah mereka akan diangkat darjat disisi Allah s.w.t. Oleh yang demikian, apa yang banyak berlaku dipersekitaran kita adalah, pelanggaran perintah Allah s.w.t. terhadap hak amanah itu serta melampaui sunnah Allah s.w.t. Natijahnya, nilai martabat manusia itu Allah turunkan kepada nilai yang sangat rendah seperti haiwan bahkan lebih rendah dari itu.

Kemuliaan ini terangkat daripada manusia apabila anugerah pancaindera itu digunapakai dalam urusan melanggari perintah Allah s.w.t. atas dorongan nafsu yang tidak dibendung. Akal yang dipenuhi ilmu yang semata-mata tahu tetapi tidak meningkat iman mereka adalah disebabkan nafsu yang berjaya menguasai akal mereka. Pada saat itu, maka hilanglah deria hati yang dapat merasai serta membandingkan keburukan dengan kebaikan yang akhirnya membawa manusia ke arah yang menyesatkan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Furqan ayat 44 yang bermaksud;

“Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.” (Al-Furqaan: 44)

Begitulah teguran atau peringatan Allah s.w.t. kepada manusia yang hilang pertimbangan insaniahnya, mati hatinya, tertutup akalnya serta bongkak dengan Allah s.w.t. yang menciptakannya.

“Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah.” (At-Tiin: 5)

Isi kandungan dari apa yang diwahyukan kepada Ar-Rasul s.a.w. ini adalah petunjuk, pedoman, huda supaya manusia memahami serta mendalami keperluan serta kepentingan untuk memelihara martabat serta kemuliaan yang telah Allah s.w.t. berikan ini. Malahan Allah s.w.t. juga memerintahkan agar bakat manusia itu dapat dipertingkatkan lagi. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan - menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya).” (Al-Insyiqaaq: 19)


TUNTUTAN MENINGKATKAN POTENSI

Maka, pasti setiap anugerah yang Allah s.w.t. berikan kepada kita pasti adanya tuntutan terhadapnya. Sebagaimana seorang pekerja yang dibayar upah atau gajinya begitu juga seorang Muslim dan Mukmin yang telah dianugerahkan pelbagai kemudahan dan kemuliaan untuk Tuhan yang menciptakannya. Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud;

“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.” (At-Tiin: 6)

Jawapan daripada ayat yang dibincangkan di atas, untuk mengelakkan manusia dari turun darjat, maka permintaan Allah s.w.t. kepada manusia adalah beriman dan beramal soleh. Ia amat sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri yang sukakan kebaikan berbanding keburukan. Maka, tidak lain dan tidak bukan, itulah tuntutan kepada Islam.

“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, Iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Ar-Rum: 30)




Muat turun artikel ini di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan