SIARAN MEDIA: ISU LARANGAN ORANG ISLAM BEKERJA DI PREMIS ARAK


Angkatan BELIA Islam Malaysia (ABIM) menyokong larangan orang Islam bekerja di premis menjual minuman keras oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya. Bagi ABIM perkara ini adalah jelas kepada semua pihak bahawa Islam mengharamkan minuman keras kepada penganutnya. Larangan ini tidak terbatas kepada pengambilannya sebagai minuman, bahkan adalah diharamkan juga bagi seseorang yang beragama Islam untuk membuatnya atau menyediakannya atau menghidangkannya atau menjualnya. Inilah peluang untuk menerangkan sekaligus member pendidikan kepada umat terutama belia Islam di negeri Selangor tentang pesoalan ini

Dalam konteks negeri Selangor, larangan tersebut turut dikuatkuasakan ke atas umat Islam melalui pewartaan enakmen no. 9 tahun 1995 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Selangor (Dewan Negeri Selangor) pada 8 Disember 1995, dinamakan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Larangan minum minuman tersebut dinyatakan dalam Seksyen 18(1) manakala larangan “membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli”nya dinyatakan dengan jelas dalam Seksyen 18(2).

Sebagai suatu enakmen yang berkuatkuasa, semua pihak sewajarnya menghormati dan akur dengan setiap peruntukan yang dinyatakan didalamnya. Pentadbir, pengurusan dan badan-badan lain yang terlibat dengan penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang di peringkat negeri perlulah merujuk kepada enakmen sebelum memutuskan sesuatu perkara yang berkaitan supaya undang-undang terus terdaulat di negeri Selangor.

Tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya meletakkan syarat supaya orang Islam tidak bekerja di premis menjual minuman keras baru-baru ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor berpendapat bahawa ianya perlu disokong dan diberikan pujian oleh semua pihak serta dicontohi oleh Pihak Berkuasa Tempatan lainnya. Tindakan tersebut boleh dikira sebagai satu bentuk pencegahan bagi mengawal kadar pengambilan minuman keras di kalangan orang Islam.

Masyarakat secara umumnya telah maklum bahawa minuman keras memberikan pelbagai kesan negatif terhadap daya fikir dan kesihatan manusia. Ia bukan sekadar cakap kosong, tetapi disokong oleh begitu banyak fakta hasil kajian ramai penyelidik dari dalam mahupun luar negara. Malahan, kesan tersebut mempengaruhi cara bertindak dan gaya hidup seseorang.

Menyorot masalah sosial di kalangan umat Islam, semua pihak wajar sedar dan mengambil teladan dari pelbagai berita yang saban hari muncul di media massa termasuk pembunuhan bayi, penderaan, pengguguran haram, budaya rempit dan seumpamanya. Rata-rata yang terjebak dengan permasalahan tersebut adalah tidak asing dengan minuman keras. Sebagai warga yang bertanggungjawab, adalah tidak tepat untuk terus sanggup melihat generasi Islam ‘mengungguli’ jenayah-jenayah tersebut yang antara lainnya merupakan kesan dari pembiasaan diri dengan minuman keras. Apapun ianya, Angkatan Belia Islam Malaysia Selangor secara tegas berpendapat bahawa membantu dan menyokong seseorang merosakkan diri atau masyarakat adalah juga suatu bentuk kesalahan. Manakala mencegahnya adalah suatu kemuliaan.

Kenyataan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor untuk membantu orang Islam yang ingin meninggalkan industri arak adalah suatu keputusan bijak yang mesti direalisasikan segera. Sebagai pemudahcara di negeri termaju, sudah pasti Kerajaan Negeri Selangor mampu membuka sedikit ruang dan peluang untuk mereka mencari rezeki halal.

Bagi ABIM Negeri Selangor , tindakan yang dibuat oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya iaitu mensyaratkan supaya premis minuman keras tidak mengambil pekerja dari kalangan orang Islam adalah selari dengan kehendak Islam dan perundangan negeri Selangor. Melaksanakannya bukan sahaja menjiwai prinsip Rukun Negara keempat, bahkan merupakan usaha murni mengurangkan kadar jenayah yang dilakukan oleh orang Islam.

Oleh yang demikian pihak ABIM Negeri Selangor menyarankan

1. Semua pihak menghormati larangan orang Islam bekerja di premis menjual minuman keras oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya. Keputusan ini sewajarnya di sokong oleh semua pihak terutama pihak berkuasa, kerajaan , NGO malah individu kerana ia bukan hanya sejajar dengan hukum agama dan peraturan sedia ada.

2. Semua pihak terutama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) , NGO Islam Negeri Selangor , Para daie negeri Selangor memberikan pemahaman seampuhnya dan memainkan peranan utama terutama dalam lingkungan bidang kuasa masing-masing dalam membantu pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan di samping memastikan umat terutama belia Islam dapat ilmu dan sekaligus mengamalkannya dengan bekerja di sector yang halal lagi baik.

3. Mekanisma alternatif seperti yang disarankan oleh YAB Menteri Besar serta menyediakan peluang pekerjaan yang banyak dalam sektor yang halal dan baik perlu difikirkan segera dan mendapat dokongan dari semua pihak.

4. Pihak Berkuasa Tempatan yang lain mempertimbangkan agar dapat melaksanakan peraturan yang sama dan mencontoho tindakan MPSJ ini.
Marilah kita berdoa agar umat Islam terutamanya belia Islam akan dilindungi dan dirahmati Allah.


MOHD ZAWAWI AHMAD MUGHNI
YANG DIPERTUA
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) NEGERI SELANGOR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan