SOLAT SUNAT DHUHA


SOLAT SUNAT DHUHA


Waktu dhuha bermula dari setelah matahari terbit tinggi sejengkal iaitu lebih kurang jam 8.00 pagi hinggalah sebelum matahari tegak iaitu tengah hari. Solat Dhuha tidak dibenarkan dilakukan sebelum atau selepas waktu yang disebutkan tadi. Oleh sebab itu, ia dinamakan solat Sunat Dhuha dan ia hanya dilakukan di dalam waktu dhuha sahaja. Solat ini adalah antara solat individu yang tidak boleh dilakukan secara berjemaah.

Jumlah rakaat sekiranya menurut pandangan yang masyhur adalah sebanyak 2 rakaat sahaja. Manakala ada juga pandangan yang menyatakan bahawa yang afdal baginya adalah 4 rakaat dengan 2 salam. Ini disandarkan kepada hadis Aishah (Riwayat Imam Abu Daud) menjelaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melakukannya sebanyak empat rakaat. Begitu juga di dalam sebuah hadis Qudsi yang disampaikan oleh Nu’aim yang bermaksud, “Wahai anak Adam! Usahlah dikau lemah daripada mengerjakan empat rakaat Dhuha. Demikian itu pasti melengkapi kebajikan genap satu hari yang dikau jalani.” (Riwayat Imam Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Tidak kurang juga yang berpendapat bahawa ia harus dilakukan dengan 6, 8 atau 12 rakaat. Menurut hadis riwayat At-Tabrani, ia adalah sunat dilaksanakan 6 rakaat dengan 3 salam. Dalam pada itu, ada juga riwayat yang dirakamkan oleh Anas bin Malik menjelaskan bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Barang siapa yang menunaikan solat sunat Dhuha sebanyak 12 rakaat maka nescaya Allah s.w.t. akan membina sebuah mahligai di dalam syurga kelak.” (Riwayat Imam al-Tirmizi). Menurut Imam Nawawi di dalam kitabnya yang berjudul Al-Majmu’, bilangan 2 hingga 8 rakaat merupakan bilangan yang masyhur.

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Ad-Dhuha ayat 1 hingga 5 yang bermaksud;
“Demi waktu dhuha. Dan malam apabila ia sunyi sepi. (Bahawa) Tuhanmu (Wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik). Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. Dan sesungguhnya Tuhan-mu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda (berpuas hati).”
(Ad-Dhuha 93: 1 – 5)

Waktu dhuha ialah waktu Allah s.w.t. mencurahkan kurniaan-Nya. Oleh sebab itu, bagi sesiapa yang inginkan kurniaan tersebut, maka dia perlu berhubung dengan Tuhannya melalui solat Sunat Dhuha. Rasulullah s.a.w. juga bersabda dalam sebuah hadis Qudsi riwayat At-Timizi yang bermaksud, “Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, ‘Hai anak Adam, solatlah kepada-Ku empat rakaat pada permulaan siang, nescaya akan Aku cukupkan keperluanmu pada akhir siang.’”

Daripada Buraidah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Pada diri manusia ada 360 ruas tulang, dituntut ke atasnya untuk memberi sedekah pada setiap satu daripada ruas tersebut. Para sahabat bertanya, ‘Siapakah yang berdaya melakukannya ya Rasulullah?’ Lalu Baginda bersabda, ‘Boleh juga dilakukan dengan menanam kahak di lantai masjid atau menghilangkan halangan di jalan raya, kalau tidak dapat dilakukan maka dengan melakukan dua rakaat solat Dhuha memadai baginya.’” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Dengan keizinan dari Allah s.w.t., orang yang melakukan solat Sunat Dhuha tidak akan mengalami sakit ruas tulang seperti sakit kaki, sakit pinggang dan lain-lain. Imam Muslim pula meriwayatkan bahawa Abu Hurairah berkata, “Rasulullah s.a.w. berpesan kepadaku dengan tiga perkara agar jangan ditinggalkan selama hidupku; puasa tiga hari setiap bulan, solay Sunat Dhuha dan solat Witir sebelum tidur.”




Muat turun artikel ini di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan