GESAAN BERHUBUNG PERTIKAIAN PENAHANAN KITAB INJIL


KUALA LUMPUR, 13 Mac: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) ingin mengulangi gesaannya sebelum ini agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan penjelasan segera berhubung kenyataan pihak-pihak yang mempertikaikan penahanan kitab Injil berbahasa Melayu yang mengandungi kalimah ‘Allah’oleh Kementerian Dalam Negeri.

Setiausaha agungnya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, merujuk kepada laporan akhbar Sunday Star bertarikh 13 Mac 2011 (m/s N6) bertajuk Ministry urged to release Bibles’, Abim berpendirian bahawa penjelasan tersebut haruslah segera diberikan memandangkan dakwaan yang terkini oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan yang dilihat bertentangan dengan pendirian rasmi kerajaan pusat berkaitan isu tersebut.

Abim, katanya ingin memohon penjelasan samada kenyataan yang dibuat oleh beliau merupakan kenyataan peribadi beliau atau mewakili kerajaan negeri Sarawak, memandangkan laporan yang sama memetik bahawa perkara tersebut hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet kerajaan negeri yang akan datang, sebelum dipertimbangkan untuk dibawa ke perhatian kerajaan pusat dan Perdana Menteri.

"Pendirian sedemikian juga nampaknya disuarakan oleh beberapa pemimpin kanan parti komponen Barisan Nasional termasuklah Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dan Presiden PPP Datuk M.Kayveas baru-baru ini. Kekeliruan yang timbul daripada kenyataan-kenyataan sebegini boleh menimbulkan pelbagai tanda tanya dan spekulasi terhadap status quo larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam teks agama selain Islam," ujarnya kepada Harakahdaily.

Mengulangi kenyataan sebelum ini, ujarnya Abim tetap berpandangan bahawa semua pihak wajib menghormati keputusan mahkamah yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam teks agama lain- sehinggalah rayuan pihak Kementerian Dalam Negeri untuk kes tersebut didengar.

Menurutnya, Abim memandang berat dan sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang dilihat cuba memanupulasi isu sensitif ini bagi tujuan-tujuan politik.

"Dalam konteks ini, Abim ingin memohon penjelasan pihak kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri terhadap dakwaan yang menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak ‘terkecuali’ daripada larangan mahkamah yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam sebarang teks agama selain Islam.

"Sekiranya benar, Abim menuntut justifikasi perundangan dan proses yang digunakapai dalam ‘meluluskan’ pengecualian tersebut. Andai dakwaan tersebut ternyata tidak benar, maka kerajaan pusat haruslah bertindak tegas menyatakan pendiriannya dan menguatkuasakan larangan pengunaan kalimah ‘Allah’ dalam teks agama selain Islam di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak," katanya lagi.

Justeru, katanya Abim sekali lagi menyeru semua pihak bersikap tegas dalam menghormati keputusan mahkamah tersebut dan tidak tunduk kepada tekanan-tekanan politik yang dikenakan oleh mana-mana pihak.

"Langkah ini juga amat selari dengan doktrin pemisahan kuasa dan kedaulatan undang-undang yang dijunjung dalam Persekutuan Perlembagaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan