KITAB INJIL: ABIM TIDAK BANTAH TAPI MAHU SYARAT KDN DIPATUHI


Oleh Syed Mu’az Syed Putra
March 18, 2011

KUALA LUMPUR, 18 Mac — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) tiada halangan kesemua 35,000 naskhah kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang dirampas Kementerian Dalam Negeri, dilepaskan dengan syarat ia mematuhi peraturan atau syarat ditetapkan kerajaan selain tidak melanggar enakmen agama Islam setiap negeri.

Presiden Abim Muhd Razak Idris berkata, naskhah Al Kitab yang sebelum ini ditahan di Kuching dan Pelabuhan Klang perlu memenuhi semua kriteria ditetapkan sebelum dibawa keluar.

Jelas beliau, pihaknya menghormati keputusan Putrajaya yang membuat keputusan untuk melepaskan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia terbabit untuk kegunaan masyarakat Kristian negara ini.

“Kita setuju jika kitab Injil dalam Bahasa Malaysia ini memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk di peringkat Kementerian Dalam Negeri, tidak melanggar enakmen agama Islam negeri, mempunyai cap hanya “Untuk Penganut Agama Kristian Sahaja” dan pengedarannya hanya di kalangan penganut Kristian.

“Kalau semua ini dipenuhi kami tidak sebarang bantahan dalam perkara ini tetapi sekiranya tidak diikuti ia perlu ditahan sehingga perubahan atau pindaan dibuat termasuk penggunaan kalimah (Allah) dalam kitab Injil itu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Justeru kata Muhd Razak, pihanya berharap agar Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) yang mewakili 90 peratus gereja di negara ini memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Jadi kita harap Persekutuan Kristian Malaysia atau pihak terbabit mematuhi peraturan yang ditetapkan terutamanya dalam perkataan atau kalimah agar tidak melanggar sensitiviti agama Islam.

“Kita berpegang pada prinsip kebebasan beragama tapi harus dipupuk dengan peraturan, kalau tidak tepati peraturan saya harap pihak penguatkuasaan jangan lepaskan,” katanya.

Kerajaan telah bersetuju untuk mengeluarkan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang ditahan Kementerian Dalam Negeri di Kuching dan Pelabuhan Klang, sejak 2009 selepas pelbagai pihak mendesak kerajaan berbuat demikian.

Keputusan itu selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah membenarkan pengeluaran dan penyebaran kitab Injil dalam Bahasa Malaysia secara terhad dan terkawal, di mana buku-buku tersebut mesti dicop dengan tag “Untuk Penganut Agama Kristian Sahaja”.

Beberapa pihak termasuk PAS berpendapat tidak wajar kitab Injil dalam Bahasa Malaysia seharusnya tidak ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata sejak 1982, dengan akta tersebut, laporan menunjukkan bahawa tiada sebarang isu atau masalah yang dihadapi dalam pelaksanaannya.

Selain itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) juga menyifatkan langkah kerajaan itu adalah bijak dan tidak wajar dihalang penerbitan itu.

Semalam, menurut Yang Dipertua PUM Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir, pihaknya tiada halangan dengan keputusan terbaru kerajaan ini kerana Bahasa Malaysia milik semua rakyat Malaysia termasuk yang beragama Kristian.

Malah semalam, CFM berkata pihaknya tidak akan menerima naskhah yang dicap dengan tag dan diletakkan nombor siri atas alasan ia satu bentuk tindakan menghina kitab suci.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan