WATAK-WATAK PENDAKWAH YANG HEBAT


WATAK-WATAK PENDAKWAH YANG HEBAT


Kehidupan seorang pendakwah tidak akan berada di dalam keamanan dan kesejahteraan melainkan akan sentiasa diuji dan dirintangi dengan mehnah dan tribulasi. Kefahaman ini perlu jelas dan diyakini dengan firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Ankabut ayat 1 hingga 3 yang bermaksud;

"Alif Lam Mim. Adakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta". (Al-Ankabut: 1 - 3)

Amaran dan peringatan Allah s.w.t. ini menjelaskan tentang kasih sayang-Nya kepada manusia bukanlah sebagai ugutan atau amaran keras. Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Fussilat ayat 33 hingga 35 yang bermaksud;

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru manusia kepada Allah dan beramal soleh dan berkata, ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri’. Tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Dan tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang di antaramu dan dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar". (Fusillat: 33-35)

Maka, apabila datangnya ujian dari Allah s.w.t., maka bersabarlah kerana mereka itulah yang bakal mendapat keberuntungan yang besar. Pelbagai halangan dan mehnah pasti akan datang untuk mereka yang sentiasa berdakwah demi Allah s.w.t. dan menyambung risalah Rasulullah s.a.w.. Untuk membentuk peribadi pendakwah dengan watak-watak yang hebat, maka mari kita bersama merujuk kepada pesanan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna ini.

Seorang pendakwah yang memiliki watak yang hebat adalah seorang pendakwah yang memiliki aqidah yang selamat. Ini adalah tunjang dan perkara yang paling asas. Ia diibaratkanb seperti pokok, ianya akan bertahan dan kuat sekiranya akarnya sihat dan memanjang sehingga ke dalam bumi. Aqidah yang utuh akan menghasilkan akhlak yang terpuji. Maka, contoh yang terbaik adalah Rasulullah s.a.w. yang diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.

Bagi seorang pendakwah juga, ibadahnya adalah betul berlandaskan syariah. Kemantapan ini adalah berdasarkan sumber rujukan yang benar. Fikrah serta corak pemikirannya benar atas jalan Islam dan ianya bersifat menyeluruh. Fizikalnya sihat dan dapat dimanfaatkan kesihatan dan kebaikan fikrahnya untuk orang lain. Sistem kehidupan dan budaya kerja yang kemas tersusun dan dapat dicontohi. Sentiasa berfikir dan berusaha untuk menyelesaikan masalah dan menjaga masa dengan baik. Akhir sekali, mereka akan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah, bukan separuh masa atau pada ketika waktu lapang sahaja. Semoga kita berupaya menjadi sebaik yang dicatatkan di atas.




Muat turun artikel ini di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan