SAMBUTLAH AIDILFITRI DENGAN KEMERDEKAAN YANG SEBENAR

SAMBUTLAH AIDILFITRI DENGAN KEMERDEKAAN YANG SEBENAR
Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini

Marilah kita panjatkan kesyukuran bersama kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar kesyukuran kerana dengan izin dari Nya kita masih berdiri, berjalan dan dikurniakan keamanan sehingga tiada apa yang datang menggugat dan menyesakkan jiwa. Ucapkanlah ‘Alhamdulillah’ kepada Allah s.w.t. kerana dengan nikmat sebesar Iman dan Islam, kita berpijak di muka bumi ini dengan dilimpahi nikmat dan kurnia yang amat banyaknya.

Ramadhan kembali dan dalam sekelip mata ia akan pergi. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, bulan yang amat dirindukan ini akan berlalu tanpa kita sedari. Ya, pada awal zaman kanak-kanak dahulu, rasa berat sungguh hati kita ini untuk berpuasa, apatah lagi selama sebulan, namun berbeza dengan dunia kita hari ini, kehidupan yang mendewasakan ini benar-benar telah memberikan kita kematangan sehingga kita dapat merasi keseronokan datangnya Ramadhan dan menangisi kehilangan serta terasa cepatnya Ramadhan ini berlalu.

Inilah lumrah dunia yang diciptakan Yang Esa, setiap yang datang pasti akan pergi, Ramadhan datang dan berlalu, hari datang dan kemudian menjadi semalam. Kehidupan terus berlalu dengan masa yang Allah pinjamkan buat kita. Masa ini adalah modal perniagaan kita di dunia buat kita mengutip keuntungannya di akhirat nanti. Ada sebahagian dari kita yang Allah s.w.t. kurangkan modalnya. Namun pasti bagi kita, bahawa modal kita bertambah kerana kita masih dapat membaca artikel ini. Apabila modal itu Allah s.w.t. tambahkan, sepatutnya ia akan dapat menambahkan lagi keuntungan kita di akhirat. Maka kita sebagai manusia seharusnya memanfaatkan masa tambahan itu dengan amal kebaikan serta permohonan ampun dan taubat kepada Allah s.w.t. Maka, jadilah kita sebagai orang yang beruntung bak kata Ar-Rasul s.a.w., hari ini, kita mestilah lebih baik dari semalam.

Amalan dalam sepertiga terakhir Ramadhan, memungkinkan kita menjadi manusia yang Allah lindungi dari bencana azab api neraka yang amat dahsyat. Secara takdirnya, Allah s.w.t. menjadikan, bulan Syawal kita disambut, serentak dengan hari kemerdekaan negara kita buat tahun ke 54. Merdeka bererti bebas. Bebas dari penjajahan fizikal juga mental. Maka di pagi Syawal yang hening nanti, pastinya umat Islam akan merayakan Aidilfitri dengan laungan takbir membesarkan Allah s.w.t. dan tidak kurang juga di kalangan kita yang akan melaungkan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”

Saudara, saudari, Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah s.w.t. sekalian.

Apakah makna merdeka untuk kita semua? Sepertiga terakhir Ramadhan menjelaskan kemerdekaan sebenar yang diusahakan kita seumur hidup kita sebagaimana doa yang sering kali kita ungkapkan, “Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat serta jauhkanlah kami dari azab api neraka.” Maka, takbir hari raya kita itu dilengkapi dengan laungan motivasi yang tinggi dan ini mengingatkan kita kepada salah satu ungkapan di dalam takbir itu yang bermaksud, “Dan Dia (Allah) telah menghancurkan tentera Ahzab dengan keesaan Nya.”

Maka, wahai kaum Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah s.w.t. sekalian. Marilah kita laungkan kata-kata motivasi ini dengan penuh semangat dan keazaman, pada hari kemerdekaan Iman kita kepada Allah s.w.t. setelah melalui proses tarbiah yang terbaik (Insya-Allah) serta kemerdekaan negara yang sudah tiba masa dan saatnya mencapai kematangannya, kita perkukuhkan keyakinan untuk terus menegakkan agama Allah sebagai cara hidup yang sebenar. Sebagaimana laungan keyakinan Allah yang telah menghancurkan golongan Ahzab ketika pada zaman Rasulullah s.a.w. dan pastinya hari ini, kita tahu bahawa mereka kembali bersatu untuk mempersendakan dan menjatuhkan agama Allah s.w.t. ini.

Cabaran, dugaan, ancaman serta permainan mereka hari ini semakin bijak dan bersahaja. Remaja dan belia Islam kini, diracuni, dirosakkan dan dijadikan alat untuk melemahkan Islam. Sehingga kita sebagai orang yang meyakini kuasa Allah s.w.t., meyakini kata-kata Allah s.w.t. melalui firman Nya, juga tewas, takut, gentar, lemah dan mengalah kepada pandangan dan kemahuan mereka. Marilah kita kembalikan kegemilangan agama ini. Marilah kita bersama dalam satu gerabak yang telah pun didahului oleh baginda Rasulullah s.a.w. Marilah kita meneruskan usaha baginda sehingga akhir hayat kita.

Usahlah kita berasa lemah dan takut. Usahlah malu untuk menyatakan kebenaran dalam beragama, kerana dari situ akan tercabut iman dan hilang keyakinan kita kepada DIA yang Maha Berkuasa. Ungkapkan yang benar walau ia pahit. Maka di Aidilfitri yang mendatang, nyatakanlah keimanan kita dengan laungan takbir dan tahmid dengan penuh keikhlasan. Hindarilah diri kita, keluarga kita serta kaum kerabat dan sahabat handai kita dari perkara yang mengurangkan pahala dan bertambahnya dosa. Usah lagi kita terpedaya dengan sogokkan kemeriahan dan keseronokan kerana di dalamnya ada keperitan dan bebanan yang dirasai bukan sahaja para pejuang agama yang mendahului kita bahkan sahabat, saudara seagama yang ada bersama kita hari ini di Palestin, Somalia, Afghanistan, Pakistan dan di serata dunia. Elakkan dan pesanlah kepada diri dan mereka semua tentang larangan bermegah-megah, berhias berlebih-lebihan, meninggalkan solat fardu atau melengah-lengahkannya, bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim juga makan berlebihan.

Sebarkanlah kasih sayang sebagai balasan kasih sayang Allah s.w.t. kepada kita semua. Berikanlah maaf dan mintalah maaf dari mereka yang dikasihi atau pernah kita musuhi sesama Islam. Eratkanlah silaturahim dan utamakanlah menziarahi keluarga daripada menghabiskan masa di rumah dengan menonton televisyen dan sebagainya. Berikanlah bantuan dan usaha sokongan kepada golongan yang amat-amat memerlukan. Inilah masanya untuk membuktikan bahawa Ramadhan kita adalah yang terbaik dan hari raya itu sangat eksklusif hanya untuk mereka yang benar-benar merdeka. Merdeka jasmaninya, rohaninya, emosinya dan intelektualnya.

Istiqamahlah beribadah sesudah perginya Ramadhan. Jika kita berupaya mengkhatamkan Al-Quran dalam tempoh sebulan Ramadhan, maka istiqamahlah untuk mengkhatamkan Al-Quran pada bulan-bulan lainnya. Jika sebulan berpuasa tanpa henti, tidak kenal penat, lapar dan dahaga, maka apalah salahnya ditambah dengan puasa enam di bulan Syawal, puasa sunat Isnin Khamis dan sebagainya. Jika di dalam bulan Ramadhan, banyak bersedekah, pasti tidak luak harta kita untuk terus bersedekah pada bulan-bulan lainnya. Ramadhan terdapat keberkatan dan keberkatan ini hanya dapat dirasai apabila kita sudah meninggalkan atau melakukannya. Maka, untuk melihat keberkatan Ramadhan, marilah kita lihat apa yang berlaku selepas perginya Ramadhan. Mudah-mudahan keberkatan itu terlihat dan dirasai oleh mereka yang bersama kita.

Saya mewakili teman-teman ABIM Daerah Kuala Selangor, dengan rendah hati memohon berjuta keampunan dari Allah s.w.t. dari kelemahan dalam melaksanakan amanah kepimpinan ini dan juga menghulurkan tangan meminta kemaafan dari mereka yang mengenali kami sepanjang kami melaksanakan amanah dakwah di bumi Kuala Selangor ini khususnya dan Selangor amnya. Semoga Ramadhan 1432 hijrah ini menjadi yang terbaik berbanding Ramadhan yang telah berlalu dan ingatlah, akan berasa kecewa dan rugilah kita jika diberikan peluang bertemu dengan Ramadhan sekali lagi tetapi tidak diampunkan dosa kita sepanjang berada di dalamnya.

Sekian, wassalam.

Muat turun artikel ini di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan