ISU GEJALA SOSIAL


Isu gejala sosial semakin hangat diperkatakan. Pelbagai perbincangan dan meja bulat dilaksanakan dengan hasrat ingin melihat perubahan yang lebih positif di dalam masyarakat. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran dari surah Al-Baqarah ayat 44 yang bermaksud;

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?" (Al-Baqarah 2; 22)

Ayat ini menjelaskan, perubahan bukan semata-mata perlukan teguran, perbincangan dan idea dari mereka yang melihat dari luar, tetapi ia harus bermula dari mereka yang terlibat dalam menegur, berbincang dan menyumbangkan idea itu sendiri. Sudah berapa banyak perbincangan yang dilakukan termasuklah isu perbincangan hari ini di dalam siaran TV3, MHI, juga mengetengahkan isu yang sama apabila timbul berita tentang remaja perempuan yang dirogol beramai-ramai.

Berkenaan dengan isu ini, kami di ABIM Kuala Selangor merasa amat terpanggil untuk menilai dan memuhasabah gerakan NGO serta fungsi masyarakat dalam menjadi faktor bagi merealisasikan usaha ini. Peranan besar yang perlu di ambil adalah oleh mereka yang hampir dengan kelompok yang sering dijadikan mangsa itu sendiri.

Pertama, sudah pasti ibu bapa mereka sendiri. Agama, pengetahuan, jatidiri serta disiplin mestilah diterapkan. Ia bukan perkara alternatif, tetapi tunjang dalam hidup mereka. Kedua, ahli keluarga terdekat khususnya abang-abang atau adik-adik lelaki yang berupaya untuk mempertahankan maruah mereka. Jangan beri ruang dan peluang kepada pemangsa untuk melihat dan mengintai kesempatan itu. Wahai anak-anak lelaki, ini adalah amanah kamu.

Ketiga pula merujuk kepada pihak yang berkuasa, secara umumnya, usaha telah dilaksana dan dilakukan dengan pelbagai cara, ternyata, manusia tetap manusia, punya kelemahan dan perlukan sokongan dari manusia yang lain. Oleh yang demikian, ABIM Kuala Selangor ingin membentangkan semula 'Resolusi Wacana Khas Gejala Sosial Di Malaysia yang mana perbincangannya adalah atas kesedaran peningkatan jumlah anak tidak sah taraf yang amat merisaukan, maka, ABIM, institusi-institusi kerajaan dan badan bukan kerajaan telah duduk bersama bagi membincangkan masalah kewujudan anak tidak sah taraf yang semakin berleluasa dalam masyarakat dalam memahami isu ini, maka beberapa aspek telah disimpulkan untuk penyelesaian masalah tersebut, ia juga bagi kami wajar dijadikan 'guideline' pemulihan iaitu;


PENDIDIKAN

  1. Keperluan bagi setiap ibu bapa dan sekolah untuk memiliki Akta Kanak-Kanak 2001 dan Convention on the Rights of Children (CRC) untuk lebih memahami realiti, hak dan perundangan kanak-kanak.
  2. Pendidikan spiritual harus ditekankan sebagai teras kepada pendidikan utama dalam masyarakat.
  3. Memperkasakan pendidikan golongan lelaki sejak usia kanak-kanak yang biasa dikaitkan sebagai pemangsa dalam menyedarkan mereka sebagai golongan yang memegang amanah dan tanggungjawab yang besar khususnya dalam melindungi pihak wanita yang biasa dikaitkan sebagai mangsa.
  4. NGO khususnya pertubuhan Islam dan persatuan pelajar Islam harus diberi ruang untuk beperanan di sekolah-sekolah dalam mengisi agenda Tauhid dan Kerohanian dalam menguatkan pegangan agama para pelajar.
  5. Dicadangkan agar diadakan pengasingan pelajar lelaki dan perempuan di sekolah-sekolah sama ada pengasingan kelas atau pengasingan sekolah.
  6. Kerajaan perlu mewujudkan ‘White School’ untuk mengasingkan pelajar-pelajar yang bermasalah dari pelajar-pelajar yang ingin betul-betul belajar di sekolah.
  7. Generasi muda harus dididik dengan makna sebenar dan bahaya zina bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham terhadap penggunaan istilah sebagai contoh antara istilah zina dengan ‘projek’.

PENGUATKUASAAN

  1. Menutup ruang-ruang maksiat dan gejala zina dengan menyokong usaha-usaha pihak berkuasa untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat ilmu dan ekonomi bukan pusat hiburan.
  2. Kerajaan harus mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang bagi mengawal penyebaran unsur pornografi dan kelucahan melampau.
  3. Pihak media harus mengelakkan unsur-unsur yang boleh membawa kepada zina, maksiat dan percintaan yang keterlaluan dalam kandungan program tv dan media cetak.

MASYARAKAT

  1. Penekanan kepada kemahiran keibubapaan dan komunikasi dalam setiap program-program berkaitan kekeluargaan bagi ibubapa memahami kehendak dan citarasa semasa anak-anak mereka.
  2. Segala perbincangan dan tindakan dalam menangani isu ini harus disandarkan bukan semata-mata kepada statistik tetapi berdasarkan kajian.
  3. Anak tidak sah taraf tidak harus dipandang bersalah, bahkan mereka harus dijaga maruah, dididik dan diberikan motivasi agar terus berjaya dalam lapangan hidup.
  4. Menubuhkan sekretariat khas terdiri dari gabungan NGO Islam yang dipimpin oleh ABIM bagi melaksanakan dan menyelaraskan hasil perbincangan hari ini. Semua pihak harus memainkan peranan secara holistik dalam menangani isu gejala sosial ini.

Oleh yang demikian, kami ABIM Kuala Selangor, dengan rasa penuh keprihatinan ingin turut serta membantu dan merealisasikan usaha ini khususnya dalam pembentukan generasi unggul di Daerah Kuala Selangor. Semoga usaha ini mendapat sambutan dan galakan bersama dan diteruskan demi masa depan generasi yang selamat di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan