QANAAH


QANAAH

Qanaah adalah sifat atau sikap berpada-pada, yakni berpuas hati dengan apa yang dimiliki atau apa yang ada sahaja. Ia lebih dekat atau mudah difahami dengan erti kata redha dengan apa sahaja yang disediakan Allah s.w.t. untuknya. Faham dan menghayati bahawa setiap apa sahaja yang diberikan Allah s.w.t. itu adalah yang terbaik untuknya serta meyakini bahawa Allah s.w.t. lebih mengetahuinya.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Aku di dunia ibarat musafir yang berteduh di bawah sebatang pokok, berehat dan kemudian meninggalkannya.” (Riwayat al-Tirmizi no 2377).

Begitulah tebalnya sifat qanaah yang ditunjukkan dan dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam jiwanya. Baginda merupakan orang yang amat dikasihi Allah s.w.t. namun sifat qanaahnya itu menjadikan Baginda lebih dimuliakan disisi-Nya. Mari kita kongsikan apakah ciri-ciri mereka yang bersifat dan bersikap Qanaah ini.

  1. Mengucapkan ‘Alhamdulillah’ terhadap semua perkara baik berbentuk nikmat mahupun musibah.
  2. Jarang-jarang merungut.
  3. Redha dengan segala yang ditentukan Allah s.w.t..
  4. Berfikiran positif.
  5. Tidak berputus asa.
  6. Berpuas hati dan berlapang dada dengan sesuatu yang sedikit.
  7. Meminta kepada Allah s.w.t. yakni bertawakal selepas berusaha.

Bagaimana sifat Qanaah ini dapat dibentuk di dalam diri kita? Pertama, bersamalah kita untuk cuba memahami dengan sebaik-baiknya konsep Qada’ dan Qadar Allah s.w.t.. Kedua, yakinilah bahawa Allah s.w.t. tidak pernah menzalimi hamba-Nya bahkan kitalah yang menganiayai diri kita sendiri. Ketiga, sentiasa datangkan syukur pada hati dan lidah kita. Keempat, sentiasalah berdoa kepada Allah s.w.t.. Kelima, cuba perhatikan disekeliling kita, dan hitungkanlah nikmat yang tidak terbanyak itu yang telah Allah s.w.t. anugerahkan kepada kita serta yang keenam berfikirlah tentang makhluk Allah s.w.t. yang diciptakan untuk kegunaan kita sebagai manusia. Allah s.w.t. telah memberikan sebanyak-banyaknya nikmat yang tidak terhingga, namun mengapa kita masih belum merasa cukup?

Muat turun artikel ini di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan