DOSA DAN HUKUM ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT


DOSA DAN HUKUM ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT

Orang yang meninggalkan solat fardu adalah amat buruk dan sangat keji sekali. Ketika di akhirat nanti mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Allah s.w.t. telah menceritakannya di dalam Al-Quran, bahawa ahli syurga (ashabul yamiin) telah bertanya kepada penghuni neraka di dalam surah Al-Muddaththir (74) ayat 42 hingga 43;

42. (setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?"
43. Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.


Daripada Abdullah bin Amru r.a. daripada Nabi s.a.w., bahawa di suatu hari Rasulullah s.a.w. menyebut tentang solat lalu Baginda s.a.w. bersabda yang maksudnya;
“Sesiapa yang memelihara solatnya, nescaya solatnya itu menjadi ‘nur’ tanda (iman) dan lepas (dari neraka) pada hari kiamat dan sebaliknya sesiapa yang tidak memeliharanya nescaya tiada baginya ‘nur’ tanda dan lepas, malahan, dia adalah (dikumpulkan di dalam neraka yang paling panas sekali) bersama Qarun, Firaun, Haman dan Ubay Bin Khalaf.” (Hadith Rwayat At-Tabrani dan Ibnu Hibban).

Daripada Jabir r.a. katanya, “Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya (perkara yang menghubungkan) seseorang dengan kufur ialah meninggalkan solat.”

Ijmak para ulama’ mengatakan bahawa hukum orang yang meninggalkan solat adalah menjadi kafir kalau dia ingkar mengenai kewajipannya. Kemudian orang yang meninggalkan solat dengan sebab malas sahaja pada hal dia beriktikad tentang kewajipannya, maka di sini terdapat 3 pendapat ulama’ tentangnya iaitu;

Pertama, orang itu tidak menjadi kafir tetapi dia menjadi fasiq. Maka wajib atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat kembali mengerjakan solat. Sekiranya dia enggan bertaubat maka dijalankan ke atasnya “hukuman had” iaitu dibunuh dengan pedang.

Kedua, orang itu menjadi kafir, hukumannya sama dengan orang yang mengingkari kewajipannya.

Ketiga, Orang itu menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, hanya “dita’zirkan” dengan dipenjarakan sehingga dia mengerjakan solat.

Kesimpulannya, orang yang mahu agamanya selamat dan dirinya bahagia dunia dan akhirat, maka sudah tentulah dia wajib menghindarkan dirinya dari terletak di antara hukum menjadi murtad dan berdosa besar.

Yakinilah, Allah s.w.t. masih sayangkan kita.

Muat turun artikel ini di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan