MENJUAL DIRINYA DEMI AGAMA ALLAH


MENJUAL DIRINYA DEMI AGAMA ALLAH

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 207 yang bermaksud:

“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya." (Al-Baqarah 2: 207)

Bertanyalah diri kita, adakah sanggup kita menjual diri demi agama Allah s.w.t.? Sebuah kisah sahabat Rasulullah s.a.w. yang mungkin ramai di kalangan kita tidak mengenalinya. SUHAIB bin Sinan yang merupakan salah seorang daripada empat tokoh utama oleh sahabat Rasulullah s.a.w.. Kita pasti biasa mendengar nama seperti Bilal bin Rabah dan Salman al-Farisi, Suhaib bin Sinan merupakan salah seorang yang paling awal memeluk Islam.

Beliau berasal dari keturunan Arab pada zaman dahulu namun lebih dikenali sebagai tokoh dari Rom. Sejarah telah mencatatkan, ayahnya, Sinan bin Malik dan juga seorang dari bapa saudaranya merupakan pemimpin di suatu kawasan di Sungai Dajlah, termasuk dalam wilayah Kerajaan Parsi. Suhaib pada waktu kecilnya telah ditawan di dalam salah satu pertempuran dengan tentera Rom dan dibawa ke Rom.

Setelah membesar sebagai tawanan di Rom, beliau kemudian dijual sebagai hamba kepada ketu suku kaum Kalb dan kemudiannya kepada Abdullah bin Jaz’an. Abdullah berasa kagum dengan keperibadian Suhaib lalu beliau dibebaskan dan diajak olehnya untuk bersama-sama menjalankan perniagaan.

Keislaman Suhaib diketahui ketika beliau bertemu dengan Ammar bin Yasir berhampiran dengan rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam, tempat yang menjadi markas Nabi Muhammad SAW dalam menjalankan dakwah baginda. Setelah Baginda Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah bersama-sama dengan Abu Bakar As-Siddiq, Suhaib turut berhijrah bersama rombongan yang diketuai oleh Ali bin Abi Talib.

Pada suatu hari, sebelum beliau berhijrah, beliau telah diseksa oleh beberapa orang pemuda Quraisy. Suhaib telah menawarkan untuk memberitahu tempat beliau menyimpan hartanya kepada pemuda-pemuda tersebut sebagai balasan sekiranya beliau dibebaskan untuk berhijrah ke Madinah. Tawarannya diterima oleh pemuda-pemuda tersebut, lalu Suhaib bebas untuk pergi ke Madinah. Sebaik sahaja beliau sampai ke Madinah, beliau terus berjumpa dengan baginda Rasulullah yang menyambut kedatangan beliau dengan berkata, "Sungguh beruntung perniagaan Suhaib."

Amalan Suhaib itu telah dimaklumkan oleh Allah kepada Rasulullah yang membawa kepada turunnya ayat 207, surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Dan di antara manusia, ada yang menjual dirinya kerana hendak mencari keredaan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada sekalian hamba Nya.”

Inilah contoh ummat ‘khaira ummah’ yang telah Allah s.w.t. catatkan di dalam Al-Quran. Adakah kita sanggup menjual diri demi agama atau kebanyakan kita menjual agama untuk kepentingan diri? Hari ini, ummat Islam perlu memandang kembali sejarah sebagai usaha perubahan dan melihat pengorbanan serta pertumpahan darah mereka yang terdahulu sebagai satu ganjaran nikmat yang kita peroleh hari ini. Maka, jika hari ini kita hanya mahu mempertahankan kepentingan diri kita bukan agama, maka akan berlakulah kepincangan serta keruntuhan akhlak manusia yang dapat kita lihat hari ini. Apabila, keutamaannya adalah dunia bukan lagi akhirat mereka.


Muat turun artikel ini di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan