HUKUM MENGQADAKKAN SOLAT


Seseorang yang meninggalkan solat fardu pada waktunya dengan sengaja, maka wajiblah dia mengqadakkan solatnya dengan segera. Adapun solat fardu yang tertinggal disebabkan uzur seperti tertidur atau terlupa yang bukan kerana kecuaian maka adalah sunat disegerakan qadaknya. Tertidur atau terlupa yang disebabkan kecuaian bermaksud tidur itu dilakukan di dalam waktu yang dirasakan tidak akan terjaga dan meluputkan waktu solat itu. Manakala lupa pula yang disebabkan oleh kelekaan dengan perkara-perkara yang tidak dituntut oleh syarak.

Menurut Ibnu Hajar Al-Haitami, “Yang jelas bahawa wajib ke atas orang yang meninggalkan solat tanpa uzur menggunakan seluruh waktunya untuk mengerjakan qadak solat kecuali waktu untuk menguruskan hajatnya yang wajib yang tidak dapat dielakkan.” Hajat itu bererti, tidurnya, membuang air besar atau kecil, mencari nafkah dan seumpamanya. Sambungnya lagi, “Haram ke atasnya mengerjakan solat-solat sunat sebelum mengqadakkan solatnya.”

Manakala menurut pandangan Habib Abdullah Al-Haddad, “Orang yang meninggalkan solat tadi diberikan kelonggaran untuk mengerjakan qadak solat fardunya menurut kemampuan dan kelapangan masanya, tanpa memberatkannya dan tanpa pula meringan-ringankan kewajipan qadak itu.”

Kemudian, pendapat Sayyid Abdul Rahman Al-Ba’lawi telah bersetuju dengan pendapat Habib Abdullah Al-Haddad itu dan katanya, “Inilah pendapat yang terlebih utama berbanding dengan pendapat para fukaha yang mewajibkan orang yang meninggalkan solat tadi menggunakan seluruh waktunya untuk qadak solatnya kecuali waktu untuk menguruskan hajatnya yang wajib.” Beliau berkata demikian kerana pendapat para fukaha tersebut amat membebankan sekali.


CARA MENGQADAKKAN SOLAT


Adalah wajib untuk mendahulukan qadak solat yang ditinggal tanpa uzur berbanding solat yang ditunaikan pada waktunya sekiranya tidak dibimbangkan habis waktunya. Tetapi sekiranya solat qadak yang ditinggalkan itu kerana uzur, maka hanya sunat sahaja mendahulukan qadak daripada yang tunai.

Adalah wajib juga mendahulukan qadak solat yang ditinggal tanpa uzur berbanding solat yang ditinggal kerana uzur. Begitu juga wajib mendahulukan qadak solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat sunat rawatib tetapi sekiranya solat qadak yang ditinggal itu kerana uzur, maka hanya sunat sahaja mendahulukannya berbanding solat sunat rawatib. Solat yang diqadakkan itu sunat dilakukan mengikut tertib waktu solatnya seperti diqadakkan Zohor sebelum Asar dan seterusnya.




Muat turun artikel di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan