PELIHARALAH AMANAH

 
Perhatikanlah kehidupan kita hari ini. Bagai dikejar bayang-bayang yang menghantui setiap manusia tanpa kita tahu siapa sebenarnya yang menghantui kita dan dihantui. Kita saling bermusuhan antara satu sama lain walaupun telah diamanahkan mata, hidung, mulut dan semua anggota lain yang serupa. Bercakap bunyi yang sama, Islam yang sama tetapi tiada keluhuran dalam kehidupan. Apa sebenarnya yang telah berlaku?
 
Ramai dikalangan kita yang bercakaran hanya kerana kepentingan dunia peribadi masing-masing tanpa menghiraukan kehidupan yang kekal selamanya. Hidup hari ini lebih senang mengejar material dan berlumba-lumba untuk memiliki kuasa. Na'uzubillahiminzalik. Bahkan, material dan kuasa ini juga sebenarnya merupakan amanah yang Allah s.w.t. berikan kepada manusia, ia akan disoal dan dipertanggungjawabkan nanti. Amanah adalah tugas mahaberat yang diberikan Allah s.w.t. untuk membezakan kehidupan akhirat kita.
 
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud; 
 
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan." (Al-Ahzab 33: 72)
 
Begitulah, telah Allah catat sejak dahulu lagi tentang amanah yang dipikulkan pada awalnya kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, tetapi mereka enggan untuk memikulnya. Ia merupakan satu petunjuk bahawa amanah sebagai khalifah merupakan sesuatu yang amat besar untuk dilaksana sebagai manusia. Allah jadikan perbandingan manusia dengan kegagahan dan keluasan langit, bumi serta gunung-ganang. Jika kita fikirkan dari segi fizikal adakah mampu untuk kita tandingi? Tetapi, upaya akal juga amanah untuk kita guna dengan sebaiknya. 
 
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah keras" (Ibrahim 14: 7)
 
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Demikianlah peringatan Allah s.w.t. dengan setiap amanah yang diberikan yang kita sering sangkakan itu sekadar rezeki, kelebihan atau kemudahan sebagaimana mudah kita sangkakan kesusahan itu musibah, kemalangan itu satu kerugian. Sedangkan, setiap kejadian itu atas perancangan Allah s.w.t.. Jika dengan iman kita melihat maka yang kita rasai adalah kemanisannya, baik kebaikan atau kemalangan yang kita terima. Ia juga adalah amanah untuk dijaga, dipenuhi dan laksana dengan baik. Amanah berasal dari perkataan arab 'amuna', 'ya'munu', 'amanatan' yang membawa erti aman tenteram. Kemudian terbit perkataan 'amanah' yang bermaksud saling percaya.
 
Mari kita fahami bahawa, dari sudut bahasanya, amanah ini membawa maksud kejujuran yang membawa kepada perasaan aman dan tenteram sehingga lahir perasaan saling mempercayai. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjaga amanah maka dia berusaha untuk menjaga harga dirinya dan sekaligus kita lihat ia adalah serangkaian makna dengan 'iman'. Kita lihat sahaja contoh yang semua kita tahu bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w. diberikan gelaran 'al-amin'. Manfaatnya besar kepada diri dan kepada masyarakat yang diketuainya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang disebutkan oleh Anas bin Malik yang bermaksud, "Tidak ada iman bagi yang tidak amanah (tidak jujur dan tidak boleh dipercayai), dan tidak ada dien bagi yang tidak menepati janji." (HR Baihaqi)
 
Maka kejayaan sebenar kita adalah bergantung kepada usaha untuk menjaga harga diri dan amanah yang Allah s.w.t. berikan kepada kita sama ada harta, pangkat, ilmu, kelapangan masa, peluang bekerja dan sebagainya. Sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Jika engkau memiliki empat hal, engkau tidak akan rugi dalam urusan dunia; menjaga amanah, jujur dalam berkata, berakhlak baik, dan menjaga harga diri dalam (usaha, bekerja) mencari makan." (HR Ahmad)
 
Kesimpulannya, amanah akan dipertanggungjawabkan dan menerima balasan yang setimpal kepada orang yang diamanahkan. Amanah bukan hanya material, tetapi setiap sudut kehidupan dan setiap saat ini adalah amanah yang akan dipersoalkan. Amanah adalah sesuatu yang mahaberat tetapi kita tidak dapat merasainya melainkan dengan iman. Ingatlah firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Al-Karim yang bermaksud; 
 
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Al-Anfal 8: 27)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan