MEMBINA GENERASI YANG KUAT

"Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran)." (4:9)

Apa agaknya yang akan kita lakukan jika mengetahui lemahnya anak-anak kita apabila kita tiada? Ingatlah, setiap yang hidup pasti akan mati dan kita akan disoal dengan apa yang telah kita lakukan ketika di atas muka bumi ini. Telah Allah catatkan bahawa, pasti bagi seorang ibu atau bapa akan ada kebimbangan apabila meninggalkan anak mereka di dunia dalam keadaan daif. Daif tidak hanya dalam soal pemilikan harta, bahkan ia juga terkait dengan soal perkembangan pendidikan dan pengetahuan mereka. Kita dapati hari ini, generasi baru, sudah dibayangi dengan kehidupan mewah dan serba lengkap sehinggakan dicatat di dalam akhbar beberapa minggu yang lalu, bilangan belia yang muflis meningkat sehingga 50, 000 orang dalam tempoh 5 tahun dan majoriti mereka berada dalam lingkungan umur tidak melebihi 40 tahun.

Jika kita amati, apakah yang telah kita sediakan buat generasi baru ini? Kehidupan ala barat yang mementingkan keselesaan, gaya, keseronokan juga material menjadikan generasi baru ini daif, bukan dari segi harta pemilikan mereka sahaja, bahkan akal fikir dan sistem percaya dalam diri mereka. Kebergantungan mereka kepada pendapatan yang tinggi untuk bermewah dan bermegah menjadikan masa hidup mereka dihabiskan untuk hanya bekerja dan kemudian berpesta dan bergembira sehingga melupakan budaya serta cara hidup Islam itu sendiri.

Maka, generasi baru ini sudah mula hilang sistem percaya kepada Allah mereka yang akhirnya memberi kesan kepada ibadah mereka dan secara langsung merosakkan sistem nilai moraliti dalam diri. Apa yang kita tonton masyarakat kita hari ini jelas dan terang menampakkan bahawa berpunca dari generasi sebelum mereka yang telah hilang rasa TAQWA dalam diri mereka dengan melupakan perintah Allah juga melebihkan kehidupan dunia.

Lidah dan fikir generasi mereka tidak tepat, tidak benar dan hanya untuk menyedapkan telinga orang yang mendengar. Nah, telah Allah jelaskan akibatnya, jika lidah itu tidak berkata benar, berperilaku yang tidak benar, keimanan yang tidak benar, tugas dan tanggungjawab yang tidak benar, maka, kita telah menyediakan generasi yang lemah, bahkan generasi ini akan berkembang dan akan semakin parah.

Perbaikilah generasi kita. Ibu ayah yang dikasihi, datangkan sifat benar dalam diri kita dari sudut bicara, erti diri, nilai diri, akhlak dan rohani kita. Segalanya akan memberikan kesan kepada generasi waris kita. Jangan biarkan mereka lemah. Wahai ibu ayah, mulakan dengan membina sistem percaya generasi baru ini kepada Pemilik alam ini. Hidup tiada ertinya jika Pemilik yang memberi pinjaman ini tidak dikenali. Asas ini akan membawa kepada beberapa amali membina peribadi belia yang kuat diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan