BELIA DENGAN AQIDAH SEJAHTERA

Kisah pemuda-pemuda gua, yang melarikan diri kerana ingin menyelamatkan aqidah mereka pasti menerjah masuk ke fikiran apabila perbincangan mengenai aqidah dan kepemudaan disatukan. Kisah Ashabul Kahfi itu begitu sinonim dengan perbincangan yang mana pengajarannya bukan sahaja dari sudut memelihara keimanan, bahkan janji-janji Allah kepada mereka yang meyakini dengan sepenuhnya.

Urusan membina generasi unggul manusia sejak berzaman harus didasari dengan sistem percaya yang tinggi dan jitu. Sistem percaya ini akan mendorong pelaku untuk melakukan tugas, amanah dan tanggungjawab dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Sistem percaya ini juga kita kenali dan fahami sebagai AQIDAH.

Asas ini dibentuk oleh Rasulullah s.a.w kepada para sahabatnya pada awal penyebaran Ar-Risalah. Inilah sumber kekuatan yang menggerakkan Muslim pada ketika itu untuk menyebarkannya secara terbuka, kerana keyakinan dan kepastian mereka kepada janji-janji Allah. Generasi ini harus digemburkan semula dalam usaha untuk kita kembali melihat kegemilangan Islam.

Hari ini, pemuda kita tidak lagi berusaha untuk mensejahterakan aqidah mereka. Soal keesaan Allah bukan perkara yang penting buat mereka, kerana bagi mereka cukuplah mereka tahu bahawa TUHAN itu satu. Mereka lupa atau tidak diingatkan tentang pencatur hidup mereka, pemilik nikmat yang diguna mereka, pengasihnya Dia yang memberikan keamanan serta pelbagai lagi dan akhirnya mereka terjerumus ke alam dunia yang hanya melihat luarannya.

Kehidupan adalah bergantung material. Itulah tuhan baru pemuda hari ini. TAUHID harus ada keTundukan manusia kepada Dia yang maha Agung dari segala keagungan di dunia. Allah harus menjadi keUtamaan dari segala perkara yang utama. Maka, harus kita galakkan pemuda kita Hadirkan Allah dalam setiap perbuatan mereka, Ingat pada setiap saat kita bernyawa kerana Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Mari kita bersama bangunkan belia dengan aqidah yang sejahtera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan