SYUKUR DALAM KEMISKINAN

Seluruh negara menyambut 12 Rabiul Awal dengan mengingati kelahiran manusia agung Rasulullah s.a.w.. Perjalanan hidup Baginda Rasulullah amat dikagumi oleh manusia hampir ke segenap dunia hari ini. Pelbagai tohmahan juga datang dari segelintir manusia yang tidak mengenali Baginda s.a.w.. Namun, Baginda adalah kekasih Allah s.w.t. yang telah meninggalkankita lebih dari 1400 tahun lamanya. Biarlah apapun tohmahan yang diberikan mereka, dakwah Islam yang didahului generasi pertama bersama Rasulullah s.a.w. masih segar dan berkembang sehingga ke hari ini. Mereka tidak mampu menyekatnya bahkan apabila lebih kuat laungan penghinaan mereka, lebih kuat pula orang lain ingin mengetahui tentangnya.

Namun, pada hari ini, ramai yang baru kembali kepada agama fitrah ini sering mengungkapkan, "Saya bersyukur kerana saya Islam sebelum mengenali orang Islam." Mengapa jadi begini? Inilah gambaran tidak sihat yang ada pada umat Islam hari ini. Namanya Islam, tetapi perbuatan, pemikiran mereka tidak Islam. Hati mereka penuh dengan kebencian, dengki dan hasad, manakala pemikiran mereka penuh dengan syak wasangka dan permusuhan. Apatah lagi apabila dilihat, dalam segala kemajuan umat Islamlah yang paling kemunduran.

Kemiskinan hari ini amat ketara berpihak kepada orang Islam. Ketika di zaman Rasulullah s.a.w., kemiskinan, kesusahan, dugaan adalah asam garam dan ini akan mendekatkan lagi mereka kepada Allah s.w.t.. Namun hari ini, kemiskinan seperti kata Baginda s.a.w. membawa manusia menghampiri kekafiran. Maka, kemiskinan hari ini tidak disusuli dengan rasa syukur, tetapi diselaputi dengan perasaan serab kekurangan dan perbandingan dengan yang lebih darinya. Maka kemiskinan ini disusuli dengan kekufuran, kufur dari segana nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada mereka.

Kekufuran ini perlu dibanteras dari pemikiran umat Islam kerana sejarah membuktikan, nikmat kebaikan buat mereka yang yakin dan berusaha demi Allah s.w.t. dan hari akhirat mereka. Ilmu perlu diterapkan agar mereka menilai kehidupan dari sudut separuh gelas berisi air berbanding separuh yang kosong. Maka, ABIM Cawangan Kuala Selangor dan Tanjong Karang mencadangkan Pelan Program Pembangunan Anak Asnaf Zakat@Sekolah yang merupakan sebuah perancangan beberapa siri program yang digabungkan bagi menjalankan projek membangun dan memantapkan kecemerlangan akademik pelajar dan perubahan sikap terhadap kemiskinan keluarga mereka.

Program ini khusus kepada mereka yang terpilih daripada kalangan anak-anak asnaf (penerima bantuan zakat). Pelan ini merupakan satu perancangan yang mengkhususkan kepada permasalahan motivasi pelajar, jati diri serta keyakinan dan kemahuan untuk mengecap kejayaan sekaligus memperbaiki keadaan keluarga pelajar sendiri. Pelan ini akan berlangsung dalam tempoh 1 tahun. Semoga segala usaha ini memberikan natijah kebaikan kepada pelajar-pelajar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan