KESUNGGUHAN DALAM HATI, NIAT BIAR IKHLAS


'Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.' (Al-Bayyinah 98: 5)

Demikianlah perintah Allah s.w.t kepada kita manusia yang sentiasa mengharap dan meminta dari Allah. Tugas dan amanah kita sebagai hamba adalah mentaati segala perintah Nya dan menghindari segala yang dilarang. Keikhlasan dalam melaksana urusan agama terlalu sukar. Banyak sekali halangan dan godaannya kerana natijah kebaikan itu amat besar sekali. Melakukan sesuatudengan mengharap dilihat atau dikenali, atau mahu diingati, atau mahu mendapat keuntungan sedikit darinya, semua ini pasti akan menyanyi di dalam jiwa, nun jauh di dasar hati manusia. Firman Allah s.w.t lagi;

'Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.' (Al-Haj 22:37)

Tugas kita adalah lakukanlah amal dengan sebaik-baiknya kerana keikhlasan ini merupakan ciri-ciri ketaqwaan sehinggakan memberi tangan kanan tangan kiri tidak tahu. Beramal yang tidak dipertontonkan, walaupun ada beberapa pandangan ia harus jika ingin memberikan kesedaran kepada orang lain. Inilah nilai amal manusia hari ini yang hilang dan seolah-olah sudah tidak berputik lagi. Percayalah, kebaikan itu pasti akan dihitung, dan perasaan melakukannya dalam keadaan yang amat berahsia dan hati-hati dari diketahui orang lain akan berasa puas dan redha yang seluas-luasnya. Itulah kuasa Yang Memiliki Hati, Dia tahu apa yang ada di dalamnya dan Dialah yang menyenangkannya.

'Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.' (Ali Imran 3:29)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan