PENYESALAN PENGIKUT SI ZALIM

Wahai saudara-saudaraku, ingatlah pesan Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud;

'Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.' (Al-Baqarah 2:164)

Kecerdasan akal merupakan tuntutan kehidupan bagi seorang Muslim untuk melihat keesaan, kebijaksanaan, kekuasaan dan keluasan rahmat yang Allah telah sediakan untuk kita semua. Namun, inilah ciri yang hilang pada ummat manusia, apabila akal mereka yang melihat tafsiran sendiri atas kepentingan sendiri bukan rujukan dari wahyu ilahi. Akhirnya tafsiran itu tersasar dan menyesatkan sehingga mata mereka tertutup dari melihat kebenaran dan hati mereka jauh dari taufiq Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t lagi yang bermaksud;

'(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).' (Al-Baqarah 2:165)

Ayat di atas di akhiri dengan peringatan Allah s.w.t agar kita sentiasa berfikir sejenak dalam hal ketaatan dan kecintaan ini. Jika ketaatan dan kecintaan lebih kepada manusia, maka itulah yang dikatakan kezaliman yang sebahagian ulama' tafsir menjelaskan itu sebagai syirik kepada Allah s.w.t.

Wahai saudara-saudaraku, beringatlah bahawa, pesan ini bukan bersifat khusus tetapi umum yang merangkumi semua bentuk ketaatan dan kecintaan baik bermula dan berpasangan suami isteri sehinggalah ketaatan di dalam organisasi sama ada jabatan atau syarikat, parti politik mahupun jamaah Islam. Allah perjelaskan keadaan ketika tiba hari perhitungan Allah s.w.t yang bermaksud;

'(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.' (Al-Baqarah 2:166)

'Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!" Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.' (Al-Baqarah 2:167)

Wahai saudara-saudaraku, tiada kesempurnaan pada diri manusia melainkan semuanya adalah milik Allah s.w.t. Maka beringatlah, tugas dan peranan pengikut ialah mentaati pemimpin yang lebih mentaati Allah s.w.t. Lebih mengutamakan Allah s.w.t. Lebih mementingkan ummat berbanding diri. Jika berlaku salah laku pada ummat, maka tugas dan amanah kita adalah dakwah. Jika berlaku salah laku pada pemimpin, telinga mereka menjadi hak bagi yang dipimpin. Maka, tegurlah dan sampai kebenaran walaupun ianya pahit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan