BINALAH KETAQWAAN

Pilihanraya telah melabuhkan tirai, persaingan dan perjuangan yang menyemarak dalam hal kepartian harus reda buat sementara dan tumpuan harus diberikan kepada usaha membina dan membangun ummat yang maju serta bangkit dari kejahilan hidup di dunia dan di akhirat.

Peranan penting ini harus disahut oleh semua umat Islam yang mempunyai kesedaran dan kemahuan untuk mencipta kejayaan sementara dan berkekalan. Maka, semangat berjuang untuk memenangi kerusi-kerusi pilihanraya diharapkan menjadikan calon-calon lebih rendah diri dan takut kepada Allah s.w.t baik yang menang mahupun yang kalah. Peranan kedua-duanya ada. Ia harus saling melengkapi antara satu sama lain. Kedua-duanya berniat untuk membawa sebanyak-banyaknya kebaikan kepada ummat, maka laksanakanlah apabila menang.

Amanah adalah beban bukan kemasyhuran, ia akan disoal sejauhmana dipenuhi dan dilaksana. Usahlah mengharap kemenangan itu dengan kemewahan dan kemegahan kerana ia bersifat sementara. Jika kebaikan ditabur atas nama kemenangan tadi dengan penuh keikhlasan, iltizam dan rasa rendah diri kepada Allah, maka, ia akan menjadi taburan kebajikan bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak. Firman Allah s.w.t yang bermaksud;

'Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).' (Al-Baqarah 2:212)

Ayuh, sampaikan nasihat ini kepada mereka, saling ingat-mengingati mudah-mudahan kita akan dirahmati dan dikasihi Allah s.w.t selalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan