ISRAK MIKRAJ DAN RAMADAN

Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Israk ayat 1 yang bermaksud;

“Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Begitulah, suatu perjalanan kekasih buat kekasih Nya. Satu perjalanan yang terungkap pada lidah manusia kecil, ‘Subhanallah’, Maha Suci Allah, sebagaimana dimulakan di dalam ayat ini ungkapan kata-kata yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Peristiwa ini benar-benar menguji keimanan manusia yang berada di dalam zaman itu. Abu Bakar As-Siddiq adalah contoh manusia beriman dengan menyatakan, jika cerita itu datangnya dari Rasulullah s.a.w, maka aku percaya dan yakin.

Tidak dilupakan juga, ramai yang meninggalkan Rasul s.a.w selepas beriman dan diperolok-olokkan oleh golongan yang masih memusuhi Islam pada ketika itu. Jika ini berlaku pada waktu Rasulullah s.a.w masih lagi berjalan di atas muka bumi Allah ini, maka bagaimana keimanan manusia pada kisah ini hari ini? Maka, kita ketahui sendiri, kita lihat dan perhalusi sendiri kepercayaan serta pegangan mereka dalam soal mukjizat Rasulullah s.a.w.

Kita di Negara Malaysia menyambut Israk dan Mikraj pada tanggal 27 Rejab setiap tahun. Namun menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam kitabnya Fathul Bari, terdapat 10 tarikh yang menjadi khilaf para ulamak. Antaranya ada yang mengatakan pada bulan Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab, Syaaban dan Ramadan. Menurut ulamak, semua riwayat mereka ini terputus maka tiada yang rajih atau kuat atau pasti. Maka, ulamak sependapat, mengimani peristiwa Israk dan Mikraj adalah wajib tetapi mengetahui bila ianya berlaku secara tepat adalah tidak wajib.

Apa yang menjadi keutamaan dalam perbincangan ini adalah mengenai keutamaan peristiwa Israk dan Mikraj dalam soal pensyariatan solat 5 waktu sehari dan semalam. Ia dikisahkan melalui satu perjalanan yang agung dengan pelbagai peristiwa yang Nabi s.a.w. dipertontonkan. Baginda s.a.w dikejar Ifrit, melihat pelbagai kelompok yang senang dan diseksa, serta melihat gambaran dunia melalui wanita berperhiasan dan wanita tua yang bongkok. Mengapa agaknya gambaran ini diperjelaskan di mata Nabi s.a.w. Maka harus kita ketahui bahawa solat adalah perintah yang utama iaitu perintah terus dari Allah s.w.t untuk manusia mentaati Allah s.w.t yang menjadi tiang kepada agama sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, “Solat itu adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat sesungguhnya ia sudah menegakkan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya ia meruntuhkan agama.”

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Mukminuun ayat 1 hingga 3 bermaksud;

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”

Terdapat beberapa pandangan para cendikiawan Islam menyebutkan, kesempurnaan solat ini menghampiri sempurnanya rukun Islam seseorang. Ia bermula dengan syahadah yang menjadi rukun di dalam bacaan solat merupakan rukun Islam yang pertama. Rukun Islam yang kedua adalah solat itu sendiri. Manakala rukun Islam yang ketiga adalah berpuasa di bulan Ramadan. Maka, di dalam solat, antara perkara yang membatalkan solat adalah makan dan minum, dan mengurangkan pahala solat jika hati tidak khusyuk dan tidak member perhatian di dalam amal perbuatan solat. Akhir sekali, ialah menunaikan haji ke Mekah, yang mana ia menjadi tumpuan kiblat setiap umat islam apabila mereka menunaikan solat.

Allah telah menyediakan janjinya kepada mereka yang sentiasa beramal dengan perintah Allah s.w.t seperti makna firman Nya dalam ayat 8 hingga 11 surah Al-Mukminuun yang bermaksud;

“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi, yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”

Satu lagi pengajaran besar yang dapat diimbas dari peristiwa besar Israk dan Mikraj ialah berkenaan dengan kebersihan jiwa Nabi s.a.w sebelum menjadi pilihan untuk melalui peristiwa itu. Peristiwa tersebut merupakan satu pujukan dan hadiah istimewa buat Nabi Nya. Sebelum Baginda s.a.w berangkat, dibersihkan hati dan jiwa Baginda s.a.w kerana Baginda s.a.w akan menerima hadiah yang amat istimewa. Nabi dipujuk Allah s.w.t atas peristiwa tahun dukacita Nabi s.a.w yang mana Baginda s.a.w kematian Khadijah, Abu Talib serta peristiwa Nabi ke Taif. Perjalanan agung ini dihadiahkan pula dengan kenderaan yang hebat. Agaknya, bagaimanakah kenderaan kita nanti bertemu Allah s.w.t?

Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud;

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk Nya, dan supaya kamu bersyukur.”

Ya, bagi umat Nabi Muhammad s.a.w, Allah s.w.t juga telah memberikan keistimewaan dalam kehidupan di muka bumi ini. Ia bukanlah suatu mukjizat, tetapi atas kasih Nya Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya. Keistimewaan itu didahului dengan  turunnya Al-Quran di dalamnya yang mana ia kitab yang akan membezakan antara yang hak dan yang batil. Ramadan juga menurut hadis-hadis Nabi s.a.w merupakan bulan yang padanya pintu rahmat di buka luas, pintu syurga terbuka luas, pintu langit terbuka luas, pintu neraka ditutup rapat. Tidak lupa juga, syaitan dan jin di rantai. Persoalannya, benarkah mereka dirantai? Jika benar mengapa masih berlaku maksiat di sepanjang bulan-bulan Ramadan yang lalu. Firman Allah s.w.t di dalam surah An-Naas ayat 5 dan 6 yang bermaksud;

"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”

Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani, ia datang kerosakan yang pada diri manusia itu sendiri. Mereka menghampiri Ramadan dengan hati serta nafsu mereka mendapat latihan intensif dari syaitan. Maka, disinilah pengajaran pentingnya pembersihan jiwa sebelum tiba Ramadan. Untuk menjadi tetamu Allah s.w.t dalam bulan yang suci dan mulia ini. Kemuliaan Ramadan ditambahi dengan bulan yang di dalamnya terdapat Lailatul Qadr. Maka, Lailatul Qadr adalah hadiah terbesar untuk Ummat Nabi s.a.w. yang mengekalkan keimanan mereka kepada Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan