ERTI RAMADAN UNTUK REMAJA

Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan yang Allah s.w.t. berikan istimewa buat umat Islam. Ia merupakan bulan yang menggalakkan peribadatan, memperbaiki hubungan dan bulan yang juga dikenali oleh para cedikiawan sebagai ‘Baitussyifak’ yakni bulan atau rumah penyembuhan. Sembuh dari pelbagai penyakit yang bukan sahaja berbentul fizikal, bahkan yang ada di dalam sanubari insan. Penyakit yang hanya diketahui oleh mereka sendiri sahaja.

Maka, kita semua memohon, biarlah bulan ini benar-benar menjadi bulan penyembuh sebelum kita menyambut kemenangannya pada 1 Syawal nanti. Kita menjadi tetamu, dan mungkin kita tidak dipilihnya, apabila terpilih, maka ambillah kesempatan itu untuk terus membuat perubahan dan menjadikan diri lebih baik dari Ramadan yang sebelumnya.

Kem Ihya’ Un-Nahar Ramadhan bermaksud kem yang menghidupkan siang bulan Ramadan. Kem yang ringkas ini memberikan penekanan kepada aspek amalan ibadah harian yang mampu dilakukan khusus buat para remaja untuk mereka merasai dan mendalami keindahan Ramadan serta kelebihannya. Semoga Allah s.w.t. memberikan kita peluang untuk terus menyebarkan kebaikan kepada generasi pemuda dan pemudi harapan agama dan bangsa kita.

Tujuan utama kem ini dianjurkan adalah untuk menjadikan siang hari peserta sepanjang Ramadan bermakna dan memberikan mereka latihan bagaimana untuk tidak mensia-siakan ruang Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat. Kami juga sebagai pelaksana kem berharap, selepas tamat kem ini peserta akan dapat mengamalkan amalan-amalan baik yang diajarkan, mensyukuri nikmat berada di dalam bulan Ramadan, meningkatkan rasa kasih dan sayang terhadap Baginda Rasulullah s.a.w serta menilai Ramadan yang lalu dan diperbaiki dalam Ramadan kali ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan