SEMARAKKAN RAMADAN DENGAN PROGRAM REMAJA

Menurut sabda Nabi Muhammad s.a.w, di dalam diri seorang manusia terdapat segumpal darah iaitu hati. Jika ia baik, maka akan baiklah keseluruhan luarannya, dan jika ia sebaliknya, begitu jugalah berlaku seluruh luarannya. Hati juga kini dikenali dan disebutkan juga sebagai Qalbi yang berasal dari perkataan arab dan membawa erti yang serupa iaitu hati. Maka, disinilah bermulanya apa yang dikatakan sebagai sahsiah diri manusia. Pembinaan sahsiah adalah wajar dan sangat perlu dimulakan dengan pembentukan Qalbi yang tepat dan berkesan.

Namun, dalam segala usaha, inilah bahagian yang sukar untuk dilakukan. Ini disebabkan oleh kedudukannya yang amat hampir dengan nafsu. Inilah jihad agung yang disebutkan Rasulullah s.a.w kepada ummat akhir zaman yakni, melawan hawa nafsu. Inilah perjungan yang harus diberikan keutamaan khususnya pada diri remaja dan pemuda di negara kita ini. Semakin hari, dapat kita perhatikan, semakin ramai dikalangan remaja dan pemuda di negara kita ini yang mula melupakan solat yang merupakan tiang agama mereka. Bagaimanalah hawa nafsu ini dapat ditundukkan jika solat yang menjadi tiang utama itu sendiri tidak mampu mereka tegakkan? Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran dari surah Al-Ankabut ayat 45;

“Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” 

Maka, Program Menghidupkan Sebulan Ramadan atau MeSRa dibina bagi bersama-sama menggemblengkan tenaga dan idea dalam melahirkan lebih ramai generasi muda yang kuat hati mereka menghadapi ujian dan hasutan syaitan serta menegakkan agama dalam diri mereka. Ia bukanlah usaha yang seratus peratus berjaya, tetapi sebagai salah satu alternatif dan pembuka jalan bagi mereka yang sama-sama ingin menyumbang untuk pembinaan anak bangsa demi untuk agama dan negara.

Matlamat utama penganjuran adalah mengharapkan agar peserta akan dapat memahami tentang kepentingan solat dalam kehidupan Muslim tidak kira dalam apa keadaan sekalipun. Sentiasa ingin memperbaikinya dan mengutamakannya dalam kehidupan seharian. Semoga dengan mengikuti program ini, peserta akan dapat melatih hati untuk sentiasa mengingati Allah s.w.t, mensyukuri nikmat kurniaan Allah s.w.t. dengan melazimkan solat, memperbaiki bacaan Al-Fatihah dan perbuatan dalam solat, memahami kepentingan mengutamakan solat serta mempersiapkan diri untuk menemui Ramadhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan