TERIMA KASIH KEPADA PENYUMBANG

3 Ramadan 1434H, Jalan Kebun Shah Alam - ABIM Selangor telah menyampaikan sejumlah sumbangan pertama dari Kempen Seorang Sekampit Beras pada 12 Julai 2013 yang lalu kepada beberapa keluarga muallaf dan miskin di bawah jagaan Darul Wardah. Yang Di Pertua ABIM Selangor menyebutkan bahawa, sumbangan ini tidak datang dari ABIM Selangor sendiri tetapi ia adalah amanah yang disampaikan oleh para dermawan Islam dari negeri Selangor. ABIM Selangor hanya menjadi ejen penyampai dan bersama kita doakan agar para dermawan ini tetap teguh keimanan mereka dan diberikan ganjaran yang setimpal dengan sumbangan yang mereka berikan.

Alhamdulillah, ini merupakan langkah-langkah gerakan yang berhasrat untuk memastikan kebajikan umat Islam yang memerlukan khususnya di negeri Selangor ini dijaga dan diberikan perhatian. Di samping itu, majlis berbuka puasa, tazkirah Ramadan, solat berjemaah dan tarawih juga diadakan bagi meraikan mereka yang berpuasa dan majlis ini diserikan dengan kehadiran para ahli jawatankuasa Darul Wardah, ahli dan Exco ABIM Selangor dan daerah-daerah seperti Kuala Selangor, Klang, Shah Alam, Bangi dan Kuala Langat.

Sumbangan yang disampaikan adalah termasuk sumbangan dari para penyumbang melalui ABIM Daerah Kuala Selangor (melalui Kamarul Azami) berjumlah RM600.00. Perancangan ABIM Selangor kali ini selain dari usaha Kempen Seorang Sekampit Beras dan Kempen Sandang Raya, kami juga akan berusaha untuk menjalankan usaha dakwah melalui program remaja dengan pendekatan program dan kursus di masjid, ke lapangan bersama belia serta memasuki kampung-kampung orang asli. Semoga usaha ini dinaungi dengan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. Semoga semarak Ramadan kali ini memberikan kesan yang jauh lebih baik kepada umat Islam. 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan