BENGKEL ASAS KEPIMPINAN REMAJA ISLAM (BAKRI)

18 Jamadilakhir 1435H, Tanjong Karang Selangor - Pada 18 hingga 20 April yang lalu, ABIM Daerah Kuala Selangor telah menganjurkan satu Bengkel Asas Kepimpinan Remaja Islam atau singkatannya BAKRI. Program khas ini berlangsung bermula dari petang hari Jumaat sehingga Ahad di SRA Parit Serong Tanjung Karang dengan hasil usaha kerjasama Masjid Darul Iman, Kampung Parit Serong, Tanjong Karang. Objektif BAKRI adalah untuk memberikan kesedaran dan kefahaman yang baik mengenai kepimpinan diri dan kepimpinan organisasi. Sejumlah 43 orang wakil pelajar daripada dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Selangor dan Sekolah Agama Menengah Tanjong Karang telah menyertai program ini dengan jayanya. Program ini bermula dengan taklimat dan suaikenal yang santai oleh saudara Kamarul Azami selaku pengarah program Bakri. Amalan 5S dan budaya TILIK turut diperkenalkan kepada para peserta.

Program BAKRI dilengkapi dengan latihan dalam kumpulan (LDK) dan juga slot MASS. Terdapat 6 sesi LDK yang dijalankan sepanjang tempoh bengkel ini berlangsung dan setiap satunya diisi dengan pengisian yang berbeza tetapi masih di dalam konteks kepimpinan yang berwibawa. Slot LDK telah diseliakan oleh para fasilitator wakil daripada mahasiswa Universiti Selangor (UNISEL) dan beberapa sukarelawan luar turut terlibat. Antara aktiviti yang dibawa dalam BAKRI adalah pembinaan pasukan, kepimpinan, komunikasi berkesan serta matlamat halatuju kepimpinan. Aktiviti kemuncak yang diadakan adalah ‘PIE Race’ dimana peserta perlu melalui 8 stesen untuk melengkapkan kod kepimpinan bagi menamatkan tugasan. Aktiviti ini bagi menguji kerjasama sepasukan para peserta dalam mengatur strategi dalam mencapai sesuatu matlamat.

Slot terakhir diadakan satu slot perkongsian dimana peserta di dalam kumpulan masing-masing diminta membincangkan tentang azam selepas program ini tamat dan melakukan sesi pembentangan. Hal ini bagi mengetahui matlamat yang ingin dicapai oleh mereka seterusnya melatih keberanian pemimpin dalam mengetengahkan idea pemikiran mereka..Diharapkan program seperti ini dapat dilangsungkan secara berterusan bagi memenuhi matlamat besar pembinaan ahli dan kaderisasi ABIM Daerah Kuala Selangor secara khususnya dan Islam secara umumnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan