LATIHAN ASAS KEPIMPINAN MUDA DI SK RAJA MUSA

26 Jamadilakhir 1435H, Kuala Selangor Selangor - Program Latihan Asas Kepimpinan Muda telah berjaya dilaksanakan oleh Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) cawangan Bestari Jaya. Program ini juga mendapat sokongan penuh dari ABIM Daerah Kuala Selangor dan IQ Class Management. Seramai 10 fasilitator dan pengerak telah terlibat dalam menguruskan program ini yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Raja Musa. Jumlah penyertaan adalah seramai 100 pelajar tahun 4 hingga 6 yang terdiri daripada kalangan pengawas,pembimbing rakan sebaya dan pelajar biasa.

Bermula pada jam 3 petang, peserta mula mendaftar di meja pendaftaran dan segala keperluan seperti tag dan fail program telah diedarkan. Usai sesi pendaftatan, program diteruskan dengan majlis perasmian yang dilangsungkan oleh pihak sekolah. Selepas minum petang dan solat asar berjemaah, peserta  berkumpul semula di ruang perhimpunan dan di beri taklimat perjalanan program  ini sepanjang 2 hari oleh saudara Izwan Suhadak serta diikuti arahan untuk mendirikan khemah sebagai penginapan peserta.

Sebanyak 10 kumpulan telah dibentuk dan ditugaskan untuk mendirikan khemah masing-masing dengan pantauan urusetia dan para fasilitator. Aktiviti mendirikan khemah ini adalah latihan pertama bagi pelajar untuk melihat cara mereka memimpin rakan-rakan sekumpulan dalam menjayakan pembinaan khemah masing-masing. Seterusya, selepas selesai mendirikan khemah, peserta telah berkumpul semula untuk makan malam pada jam 6.30 petang dan selepas itu sesi kendiri untuk persiapan solat maghrib.

Usai solat maghrib berjemaah, saudara Izwan Suhadak telah menyampaikan slot tazkirah bermodul iaitu berkaitan dua orang UMAR iaitu Umar Al-Khattab dan Umar Abdul Aziz. Slot ini disampaikan bagi memberi pencerahan kepada peserta tentang pembinaan jati diri yang unggul seperti pemimpin muda Umar. Para peserta turut bertanya soalan ketika tazkirah disampaikan. Kemudian disambung dengan solat isyak berjemaah di dewan solat. Jam 9 malam, para peserta di bahagikan kepada 10 kumpulan yang telah dibentuk dan setiap kumpulan diselia oleh 2 orang fasilitator.

Program disambung dengan sesi latihan dalam kumpulan 1 (LDK). Sesi taaruf, ice breaking dan mind setting bermodul dijalankan oleh diikuti aktiviti membuat logo dan sorakan kumpulan. Aktiviti berlangsung dalam tempoh 2 jam sehingga jam 11.00 malam. Selepas itu peserta dikumpulkan semula untuk aktiviti seterusnya iaitu ‘Nightwalk’. Taklimat diberikan terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti. Perlaksanaan nightwalk ini adalah, para peserta ditutup mata dengan kain dan berbaris panjang. Satu tali panjang dibekalkan kepada barisan peserta bagi menghubungkan antara satu sama lain. Fasilitator akan membawa peserta disekitar kawasan dalam sekolah dalam keadaan gelap dan memotong tali itu meninggalkan peserta seorang demi seorang. Aktiviti tamat pada pukul 1.00 pagi beserta resolusi. Majlis bersurai untuk memberi ruang peserta rehat dan tidur.

Hari kedua, aktiviti dimulakan dengan qiamulaill pada jam 5.00 pagi. Peserta dan komiti bersama-sama berjemaah melakukan solat sunat hajat, tasbih dan taubat yang diimamkan oleh Ustaz Suffian daripada Unisel. Seterusnya solat subuh berjemaah dan tazkirah subuh di sampaikan. Jam 7.00 pagi, peserta berkumpul di dataran untuk melakukan senaman pagi bermodul sehingga jam 8.00 pagi. Usai aktiviti riadah pagi, peserta diberi masa kendiri dan makan bersama.

Kemudian, program diteruskan kepada LDK 2 dimana aktiviti berlangsung  bersama fasi di dalam kumpulan masing-masing. Terdapat tiga aktiviti di dalam LDK 2 iaitu aktiviti lai chi kang, permainan bernombor dan radio rosak. Fokus utama aktiviti ini adalah tentang potensi diri dan kepimpinan. Aktiviti pertama adalah aktiviti lai chi kang dimana seorang daripada ahli kumpulan perlu menjadi wakil untuk mengajar satu lagu yang telah ditetapkan oleh fasi untuk mengajar rakan sepasukan. Lagu, rentak dan gaya telah diajar oleh fasi kepada wakil itu terlebih dahulu dan seterusnya wakil perlu memasuki kumpulan untuk mengajar rakan lain. Aktiviti lagu lai chi kang perlu dijalankan secara sepasukan. Daripada aktiviti ini dapat disimpulkan tentang  kepimpinan yang perlu ada dalam diri meraka dalam  memberi suatu arahan yang jelas kepada anak buahnya dan adab mendengar arahan daripada ketua yang menyampaikan.

Aktiviti kedua diteruskan dengan permainan bernombor. Aktiviti ini juga memerlukan seorang wakil dari ahli kumpulan. Perlaksanaannya adalah,keratan nombor 1-30 akan diselarakkan dalam kawasan berkotak yang telah ditanda oleh fasi. Seorang wakil peserta akan masuk ke dalam kotak itu mencari nombor 1-30  secara tersusun semula. Rakan sepasukan lain hanya dibenarkan berada diluar kawasan berkotak. Aktiviti ini dijalankan sebanyak 2 kali ulangan. Kesimpulannya untuk melihat kerjasama dalam mewujudkan perbincangan dan kefahaman menyelesaikan masalah yang diberi. Peserta juga diuji dengan cara bagaimana mereka merancang strategi dalam mencapai satu matlamat dan peluang kali kedua diberi sebagai penambahbaikan untuk peserta memperbaiki cara kepimpinan ke arah yang lebih baik.

Aktiviti terakhir adalah aktiviti radio rosak. Perlaksanaannya, fasi akan menunjukkan satu gambar selama 1 minit  kepada seorang wakil peserta yang dipanggil. Peserta itu akan cuba mengingat gambar itu dan masuk semula ke dalam kumpulan lalu membisikkan ke rakan sebelahnya menyampaikan rupa gambar itu sehingga maklumat itu sampai ke orang yang terakhir dan dia perlu melukiskan semula apa yang disampaikan. Hasil lukisan ditunjukkan pada kumpulan. Kesimpulannya, menjadi seorang pemimpin perlu bertanggungjawab menyampaikan maklumat yang jelas dan benar. Jika tidak pasti lebih baik bertanya kepada sumber dan bukan hanya menyampaikan sesuatu yang tidak pasti khasnya sebagai pemimpin di sekolah. LDK 2 berlangsung selama 2 jam sehingga jam 10.30 pagi. Peserta diberi rehat untuk minum pagi dan di sambung ke LDK 3.

Jam 11.00 pagi, aktiviti LDK 3 diteruskan. Aktivti terakhir ini adalah aktiviti resolusi dimana peserta dalam kumpulan akan diminta mencipta lirik lagu dan ikrar pemimpin, catatan pengalaman dan azam selepas program. Usai aktiviti, para peserta perlu membentangkan hasil aktiviti. Aktiviti ini juga mengajar mereka untuk berbincang dan mendengar pendapat orang lain dalam membuat sesuatu keputusan. Pemimpin juga mesti bijak dalam membuat perancangan yang seterusnya. LDK tamat pada jam 1.00 petang dan peserta bergerak untuk makan dan persiapan solat zohor. Usai solat zohor berjemaah, para peserta di minta berkumpul dan diagihkan tugas mengemas khemah dan membersihkan kawasan sekitar sekolah bersama-sama. Peserta berkumpul semula pada jam 2.30 petang untuk majlis penutupan Program Latihan Asas Kepimpinan Muda. Sesi penutupan  turut diserikan dengan penyampaian sijil dan anugerah peserta terbaik. Majlis bersurai sekitar jam 3.30 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan