PROGRAM SUSULAN BAKRI 2014

10 Rejab 1435H, Tanjong Karang Selangor - Pada 9 dan 10 Mei 2014, ABIM Kuala Selangor dan Tanjong Karang telah mengadakan perjumpaan semula dengan alumni peserta-peserta BAKRI 2014 rentetan dari program kepimpinan yang telah dianjurkan dua minggu sebelumnya. Program yang diketuai oleh saudara Kamarul Azami sebagai penasihat dan Muhammad Haziq bin Mohd Idris sebagai pengarah program ini adalah khusus untuk mengadakan PoA (Plan of Action) atau pelan tindakan bagi merangka kelangsungan program-program sahsiah remaja pada masa akan datang. Antara objektif program ini ialah bagi menjana minda kreatif dan kritis dalam kalangan pelajar kususnya alumni BAKRI untuk membangun generasi yang lebih berkualiti dan berdaya saing. Program ini juga diadakan bertujuan untuk mempersiapkan alumni BAKRI agar mampu merancang, menyusun atur dan menjalankan program sendiri pada masa hadapan. Perjumpaan kali ini telah pun dihadiri oleh 41 peserta yang terdiri daripada 20 peserta lelaki dan 21 peserta perempuan serta 6 orang fasiltator.

9 Mei 2014, sekitar jam 3.00 petang, semua fasilitator dan para alumni BAKRI 2014 mula berkumpul di perkarangan Surau Darul Ma’arif di Kampung Tiram Jaya, Tanjong Karang di mana program selama dua hari satu malam ini berlangsung. Sementara menunggu para peserta yang belum tiba, peserta yang telah hadir diberi taklimat ringkas oleh saudara Kamarul (abang Kam) sebelum kami semua sama-sama menunaikan solat fardhu Asar secara berjemaah. Usai menunaikan solat, para peserta mula mendaftarkan diri. Program kemudian diteruskan dengan sesi pengenalan barisan fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi dari Unisel iaitu, Haziq, Zhaffri, Asyeirah, Akma, Aida dan Husna. 

Kemudian, pada jam 5.45 petang, acara seterusnya yang dinanti-nantikan oleh semua iaitu  ice breaking atau sesi pengenalan telah dilakukan. Semua peserta kelihatan  sangat teruja untuk memperkenalkan diri dan mengenali rakan-rakan mereka yang lain oleh sebab kelainan cara permainan yang diketengahkan sepertimana kotak beracun. Namun begitu, sesi pengenalan singkat ini tamat pada jam 6.00 petang sebelum diteruskan lagi dengan pencerahan taklimat program oleh abang Kam. Acara dimulai dengan bacaan istighfar bagi memohon keampunan dan keberkatan program daripada Allah S.W.T. Sebaik sahaja abang Kam selesai memberi taklimat, para peserta telah diajar dengan lagu rasmi ABIM untuk dinyanyikan bersama sebelum setiap kali sesi dimulakan.

Pada sebelah malam usai menunaikan solat Isya’, tepat jam 9.20 malam, slot ceramah oleh abang Kam telah dimulai dengan penyampaian KulTuM (Kuliah Tujuh Minit) oleh salah seorang peserta sebelum semua peserta sama-sama menyanyikan lagu ABIM sebagai pembuka acara. Penyampaian oleh abang Kam antaranya ialah menitikberatkan soal pembentukan Generasi Berkualiti di samping penekanan peranan pemuda sebagai agen perubahan dalam masyarakat. Element SPIES, personaliti diri, pemahaman mengenai tanggungjawab pemuda dalam komuniti dan penetapan matlamat hidup turut menjadi pengisian dalam slot tersebut. Akhirnya, slot bersama beliau melabuhkan tirai tepat jam 11.00 malam. 

10 Mei 2014, jam 4.00 pagi, para peserta sudah mulai bangun dan mempersiapkan diri masing-masing untuk melaksanakan qiamullail. Qiamullail kali ini telah dilakukan secara sendiri-sendiri oleh semua dengan tujuan untuk melatih dan memberi peluang kepada diri masing-masing beribadah dengan lebih khusyuk dan tawaduk. Selepas mendirikan solat fardhu Subuh, telah diadakan sesi diskusi makna, intipati  dan pengajaran surah العصر setelah para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan sebelum diminta untuk membuat pembentangan. Sesi pada pagi ini telah diketuai oleh abang Jo. Usai sesi pembentangan, kesemua fasilitator dan peserta melakukan aktiviti senaman pagi dan membuat larian di sekitar kampung sebelum mengambil sarapan dan bersiap untuk menunaikan solat sunat Dhuha secara berjemaah. 

Sementara menunggu ketibaan saudara Fawwaz, Presiden PEPIAS untuk memberikan ceramah, sebahagian peserta lelaki dan perempuan diminta untuk memberikan tazkirah ringkas. Hal ini demikian untuk melatih sifat kepimpinan dan memperbaiki skil komunikasi para peserta itu sendiri. Kemudian tepat jam 9.45 pagi, slot saudara Fawwaz pun dimulai. Antara intipati slot beliau adalah manusia bukanlah sebuah robot yang hanya mengulangi perkara rutin yang dilakukan setiap hari. Bahkan manusia itu perlu mengisi hidup mereka dengan perkara-perkara yang lain. 

Tamat ceramah tersebut, program diteruskan dengan sesi PoA yang mana merupakan objektif utama program ini diadakan. Para peserta diminta untuk merangka dan merancang pelan tindakan dan program-program yang akan dijalankan sendiri oleh mereka sebelum dibentangkan di hadapan yang lain. Dalam sesi pembentangan yang telah dijalankan, kami telah mengenalpasti pelbagai idea dan cadangan program bernas yang ingin dilaksanakan oleh alumi BAKRI 2014 ini. Ada yang munasabah dan ada juga yang sangat luar biasa. Cara ini sebenarnya secara tidak langsung dapat menjana pemikiran yang kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Maka dengan ini, berakhirlah perjalanan kami dalam program alumni kali ini. Walaupun terdapat beberapa kekurangan dan cabaran yang sentiasa menemani, alhamdulillah segalanya dapat diatasi dengan akal dan emosi ahli program yang mapan. Kami berharap agar program kepimpinan BAKRI seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai generasi Islam yang berilmu dan berkepimpinan. Dan semoga dengan aktiviti yang berakhir pada hari ini dapat kami berikan manfaat ilmu dan pengalaman yang dibawa kepada diri dan masyarakat, Inshaa Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan